Anak penoreh getah cemerlang STPM

Dhivya (dua kiri) dan Chin Seng diraikan selepas sidang media khas di sekolah hari ini.
A
A

TANAH MERAH - Siapa sangka anak seorang penoreh getah di daerah ini, merupakan calon cemerlang dalam keputusan Sijil Tinggil Pelajaran (STPM) sehingga dinobatkan terbaik peringkat kebangsaan.

Dhivya Janani Mariapan, 20, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Mahmud Paduka Raja 1, berjaya memperolehi keputusan 5A dalam semua matapelajaran yang diambil dalam peperiksaan itu.

Antara lima mata pelajaran itu termasuk Pengajian Am, bahasa Melayu, Geografi, Pengajian Perniagaan dan Ekonomi.

Anak bongsu pasangan Mariappan Govindasamy, 47, dan Muniamma K. Madhanam, 54, berkata, kesungguhannya untuk berjaya dalam STPM adalah untuk mengubah nasib keluarganya yang hidup susah.

"Biarpun jarak perjalanan jauh dari rumah di Ladang Kerilla ke sekolah iaitu 30 kilometer dengan menunggang motosikal, saya tidak pernah merasa penat untuk berulang alik ke sekolah.

"Lagipun dengan pelajaranlah kita boleh ubah nasib kita dan ia bukan penghalang untuk saya berjaya dan saya mampu buktikannya.

"Saya merancang untuk menyambung pengajian di Universiti Malaya (UM) dalam bidang perakaunan dan mencapai cita-cita sebagai seorang akauntan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi rakannya yang merupakan anak seorang pemandu lori, Wee Chin Seng, 20 berkata, impiannya adalah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian perniagaan.

"Saya mahu buktikan bahawa saya juga mampu melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah dan menyarung jubah bersama topi konvokesyen.

"Lagi sebelum ini kakak saya hanya melanjutkan pelajar di peringkat diploma dan memakai jubah tanpa topi konveksyen.

Maka kali ini saya mahu buktikan saya mampu membawa pulang segulung ijazah dan kejayaan ini adalah hadiah untuk kedua ibu bapa saya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di sekolah terbabit di sini hari ini.

Sementara itu, pengetua sekolah terbabit, Kamaruzaman Zakaria berkata, Dhivya yang berasal dari Ladang Kerilla sebelum ini merupakan seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap.

"Pencapaian dalam kelas pun biasa-biasa sahaja dan sebelum memasuki ke sekolah menengah, Dhivya juga mempunyai masalah dari segi pembelajaran.

"Namun kekurangan itu tidak dijadikan alasan untuk dia terus bangkit dan berjaya dalam STPM kali ini dan sekali gus mengharumkan nama sekolah apabila dinobatkan pelajar terbaik nombor satu Malaysia," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia