PBDSB sedia kerjasama dengan parti pembangkang

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) sedia bekerjasama dengan parti pembangkang lain demi kesejahteraan Sarawak khususnya masyarakat Dayak di negeri itu.

Naib Presiden PBDSB, Rapelson Richard Hamit bagaimanapun berkata, parti itu tidak akan menyertai Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekiranya meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12).

"PBDSB tidak terikat dengan mana-mana parti namun kita akan bekerjasama dengan parti pembangkang lain sehingga hak Sarawak terutama orang Dayak dapat dikembalikan dan diiktiraf dalam perundangan negeri serta negara.

"Hanya parti PBDSB parti yang ideal menawarkan Dayak sebagai Ketua Menteri Sarawak secara giliran selain memperjuangkan hak Dayak dalam pemilikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Rapelson berkata, selain itu PBDSB turut memperjuangkan kesamarataan dalam pekerjaan termasuk sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), peluang pendidikan dan sebagainya.

Justeru, beliau meminta agar pengundi Dayak untuk menyokong dan mengundi kesemua 11 calon PBDSB di kawasan yang ditandingi parti tersebut.

"Pengundi perlu mengundi calon PBDSB manakala di tempat lain yang tidak ditandingi PBDSB, pengundi boleh mengundi parti lain selain daripada GPS dan Parti Sarawak Bersatu (PSB).

"Ini penting bagi mengurangkan dominasi parti pemerintah supaya dapat mengelakkan mereka menang majoriti dua pertiga dalam pembentukan Kerajaan Sarawak nanti," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12), PBDSB akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar, Bukit Bengunan, Ngemah, Dugong, Pelagus, Katibas, Bukit Goram, Murum, Samalaju, Marudi dan Senadin.


Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my