Penagih dadah cekik adik perempuan dihukum penjara 4 tahun, sebat

Mohd Khairool (kiri) dijatuhkan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan selepas mengaku bersalah mencekik dan memukul adiknya dengan kerusi kayu.
Mohd Khairool (kiri) dijatuhkan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan selepas mengaku bersalah mencekik dan memukul adiknya dengan kerusi kayu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang penagih dadah dihukum penjara empat tahun serta satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis kerana mencekik dan memukul adik perempuannya dengan kerusi kayu dalam kejadian lebih seminggu lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh, Mohd Khairool Fadli Zakaria, 35, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, Mohd Khairool didakwa mencekik dan memukul adik perempuannya, Siti Nor Fatihah Zakaria, 32, dan menolak ibu mereka, Nik Bahtera Sulaiman,58, dengan tangan di alamat Kampung Raja Padang Salim, Peringat, di sini, pada jam 8 pagi 8 Disember lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid yang mengendalikan pendakwaan memohon hukuman setimpak dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Tertuduh bagaimanapun merayu agar dikenakan hukuman yang rendah.

Hakim Ahmad Bazli kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara selama empat tahun berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap selain dikenakan satu sebatan.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian, mangsa dan ibunya sedang mengemas rumah mereka sebelum didatangi tertuduh yang bertindak memarahi adiknya itu,

Artikel Berkaitan:

Mohd Khairool turut menuduh adiknya itu mengusik barang miliknya sedangkan ketika itu wanita berkenaan sedang membersihkan sarang tikus yang ada di dalam sebuah almari.

Tertuduh kemudian mencekik leher serta memukul kepala adiknya itu dengan kerusi kayu selain menolak ibunya hingga jatuh ke lantai.

Akibat kejadian itu, mangsa sakit pada kepala dan leher serta membuat laporan polis.

Tertuduh dilaporkan seorang penagih dadah yang sering mengamuk dan merosakkan harta benda di dalam rumah hingga menyebabkan keluarganya ketakutan.