Inovasi daun semambu sebagai kosmetik penyelidik UC TATI diiktiraf

Norazlina (kiri) bersama anugerah yang berjaya dimenangi UC TATI pada Pertandingan Pameran Antarabangsa Ciptaan, Inovasi dan Teknologi (ITEX) 2021 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama dua hari bermula 13 Disember. - Foto UC TATI
Norazlina (kiri) bersama anugerah yang berjaya dimenangi UC TATI pada Pertandingan Pameran Antarabangsa Ciptaan, Inovasi dan Teknologi (ITEX) 2021 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama dua hari bermula 13 Disember. - Foto UC TATI
A
A
A

INOVASI daun neem atau lebih dikenali sebagai semambu sebagai kosmetik hasil kajian penyelidik dari University College TATI (UC TATI) mendapat pengiktirafan apabila berjaya memenangi dua anugerah antarabangsa.

Projek kajian diketuai pegawai penyelidik, Dr Norazlina Hashim tersebut berjaya memenangi Anugerah Emas Inovasi dan Anugerah Khas Best Innovation in Green Technology dari Japan Intellectual Property Association (JIPA).

Inovasi berkenaan diiktiraf pada Pertandingan Pameran Antarabangsa Ciptaan, Inovasi dan Teknologi (ITEX) 2021 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama dua hari bermula 13 Disember.

Norazlina berkata, Moisturizing Neem Lotion ialah produk kosmetik berasaskan bahan semula jadi tempatan daun neem atau semambu melalui proses ACE technology.

“Inovasi ini berjaya mengekstrak pati minyak daun neem melalui kaedah mudah dengan kos rendah dan menghasilkan formulasi terbaharu untuk losyen bagi masalah kulit seperti kegatalan dan kekeringan.

“Bahan semula jadi tempatan seperti neem ini mempunyai ciri dan sifat anti-mikrobial yang sangat berkesan, malah masih terdapat banyak potensi dan kelebihan neem yang boleh dikomersilkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Norazlina, penggunaan bahan-bahan organik seperti pati minyak daun neem, minyak kelapa dan aloe vera untuk menghasilkan produk kosmetik menjadikan ia lebih selamat dan memberi kepuasan kepada pemakai.

Selain itu katanya, kejayaan ini juga dapat membantu usahawan tempatan menghasilkan produk kecantikan, kebersihan dan kesihatan dari bahan-bahan semula jadi tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada produk luar.

Artikel Berkaitan:

“Anugerah ini menjadi pemangkin kepada UC TATI untuk melakukan lebih banyak kajian dalam usaha melahirkan pelbagai jenis inovasi yang mampu memberi manfaat kepada industri tempatan,” katanya.