Ismee takut, tidak keruan selepas siasatan kes 1MDB bermula

Tan Sri Ismee Ismail- Foto Bernama
Tan Sri Ismee Ismail- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, bahawa beliau berasa takut dan tidak keruan ketika siasatan 1MDB bermula.

Tan Sri Ismee Ismail berkata demikian ketika memberi keterangan terhadap Datuk Seri Najib Razak, yang berdepan empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Ketika ditanya peguam, Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili Najib, Ismee berkata, perasaan itu mula timbul apabila dia dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2015 dan pertengahan 2018.

Namun saksi ke-13 itu berkata, SPRM tidak memberi tekanan kepadanya supaya memberi kerjasama dan bukti untuk menentang Najib.

“Bukan rasa ditekan oleh sesiapa tapi... susah nak gambarkan, perasaan saya masa itu tidak tentu arah, tidak keruan dan takut sebab saya tak tahu apa yang sedang berlaku," katanya.

Dalam pada itu, saksi berusia 56 tahun itu berkata, tiada sebarang perjanjian beliau akan dilepaskan daripada pendakwaan kes jenayah dan sivil berkaitan 1MDB oleh SPRM.

Hariharan: SPRM juga menjanjikan bahawa anda akan dilindungi sekiranya bekerjasama?

Ismee: Tidak, saya lebih memikirkan soal keselamatan diri dan keluarga saya.

Artikel Berkaitan:

Hariharan: Adakah Tan Sri mahu cakap, Tan Sri dijanjikan keselamatan?

Ismee: Mereka (SPRM) ada cakap saya tak perlu paranoid tetapi memang tiada perjanjian.

Hariharan: Adakah Tan Sri berasa tidak berpuas hati apabila menerima surat saman?

Ismee: Ya

Hariharan: Tan Sri rasa dikhianati?

Ismee: Saya rasa sangat-sangat sedih, lebih sedih daripada dikhianati.

Pada 16 Ogos lalu, media melaporkan, 1MDB dan empat anak syarikatnya telah menggugurkan tujuh daripada 15 defendan dalam tuntutan mahkamah AS$8 bilion terhadap bekas pemegang jawatan syarikat-syarikat tersebut.

Selain Ismee, mereka yang digugurkan daripada saman itu ialah bekas pengarah 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram; bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman, serta bekas Ketua Pegawai Kewangan, Azmi Tahir.

1MDB memfailkan saman itu Mei lalu bersama 1MDB Energy (Langat) Ltd, Global Diversified Investment Company Ltd (dahulunya 1MDB Global Investments Ltd), 1MDB Energy Holdings Ltd dan 1MDB Energy Ltd.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Prosiding bersambung 5 Januari 2022.