Sila log masuk terlebih dahulu.

KKM kesan kes kedua Omicron di Malaysia

Khairy - Foto Bernama
Khairy - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kes varian baharu, Omicron pada 14 Disember lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kes baharu itu merupakan seorang kanak-kanak warga Malaysia berusia lapan tahun yang menetap bersama keluarganya di Lagos, Nigeria.

"Kes tiba di Malaysia bersama ibu dan adik perempuannya pada 5 Disember 2021 dari Lagos, Nigeria dengan penerbangan transit di Doha, Qatar.

“Kes dan ahli keluarganya telah menjalani ujian RT-PCR Covid-19 semasa ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Mereka telah diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan diarahkan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, keputusan ujian RT-PCR mendapati kanak-kanak itu positif Covid-19 pada 7 Disember 2021 dan diarahkan untuk menjalani isolasi di rumah selama 14 hari disebabkan ketiadaan gejala.

Beliau berkata, kontak rapat kepada kanak-kanak itu terdiri daripada ibu, adik perempuan, bapa, dan pemandu teksi yang membawanya dan keluarganya dari KLIA ke tempat kediaman.

“Semua ujian yang dijalankan ke atas ibu dan adik perempuannya iaitu ujian sebelum berlepas ke Malaysia, semasa ketibaan, pada hari kelima dan pada hari ke-11 menunjukkan keputusan negatif.

Artikel Berkaitan:

“Ujian RT-PCR Covid-19 bagi pemandu teksi sedang dijalankan. Ketiga-tiganya tidak bergejala dan diarahkan menjalani arahan kuarantin selama 14 hari.

“Bapa kanak-kanak itu pula telah tiba di Malaysia pada 12 Disember 2021 dan menjalani arahan kuarantin di sebuah stesen kuarantin swasta. Ujian RT- PCR bapa pada hari ketibaan adalah negatif,” jelasnya.

Khairy berkata, terdapat seramai 35 orang kontak dalam penerbangan iaitu empat baris tempat duduk di hadapan, belakang, sebelah kiri dan kanan.

Menurutnya, keputusan ujian RT-PCR Covid-19 semasa ketibaan dan pada hari kelima bagi kesemua kontak berkenaan bagaimanapun negatif.

“Pemantauan kes dan kontak yang dikenal pasti dilaksanakan secara menyeluruh dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Pada masa sama, Khairy memaklumkan, kes tersebut dikesan daripada ujian PCR Genotyping Assay dilakukan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ke atas sampel daripada 52 kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara yang pulang dari luar negara bagi tempoh 6 sehingga 10 Disember 2021.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dikesan varian Omicron di Malaysia adalah sebanyak dua kes. Kedua-dua kes ini merupakan jangkitan import daripada luar negara,” jelas beliau.

Pada 3 Disember lalu, KKM memaklumkan kes pertama Omicron dikesan di Malaysia membabitkan pengembara bukan warganegara berusia 19 tahun yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November lalu.