Bomba syor kosongkan kawasan tercemar

Mohammad Hamdan (tengah) pada sidang media di Ibu Pejabat JBPM Perak, hari ini.
Mohammad Hamdan (tengah) pada sidang media di Ibu Pejabat JBPM Perak, hari ini.
A
A
A

IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesyorkan agar kawasan dalam lingkungan pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor dikosongkan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi memastikan komuniti di kawasan tersebut selamat daripada pencemaran berkenaan.

"Tindakan untuk menutup sekolah adalah satu tindakan yang baik. Saya dari semalam lagi sudah minta supaya dalam bulatan atau radius untuk diambil tindakan evakuasi berikutan keadaan iklim dan cuaca panas ini berubah-ubah dari semasa ke semasa kerana reaksinya ada pada bahan kimia tersebut.

"Sekiranya perlu untuk mengosongkan kawasan itu tindakan hendaklah diambil sewajarnya bagi memastikan mereka di kawasan itu selamat. Kita sentiasa berada di kawasan tersebut untuk memastikan tiada kesan pencemaran dialami komuniti di situ," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 JBPM Perak dan Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Utara di Ibu Pejabat JBPM Perak, di sini.

Mohammad Hamdan berkata, di peringkat awal pihaknya mendapati kelewatan tindakan diambil menyebabkan keadaan tersebut berulang.

Menurutnya, ketika sekolah tersebut dibuka semula selepas berlaku kejadian pertama, pihak JBPM mendapati masih ada pencemaran gas tersebut di kawasan berkenaan dan bahan pencemaran itu juga tidak dibuang menyebabkan situasi sama berulang.

"Ketika sekolah dibuka semula memang dikenal pasti ada gas tersebut di kawasan itu dan bahan itu tidak dibuang kerana percaya tidak ada reaksi terhadap bahan itu maka ia tidak dibuang.

Artikel Berkaitan:

"Difahamkan untuk membuangkan bahan itu memerlukan kos paling tinggi dan tak berani mengambil tindakan. Jadi ia dibiarkan begitu sahaja dan bagi saya ia tindakan tak betul," katanya.

Mohammad Hamdan berkata, pembuangan bahan sisa pencemaran itu bukan bidang tugas JBPM sebaliknya mereka hanya berfungsi sebagai agensi mencari dan menyelamat.

"Setelah mengenalpasti jenis bahan kimia yang menyebabkan pencemaran tersebut oleh pasukan Hazmat, pihak JBPM menyerahkan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk mengambil tindakan selanjutnya.

"Pada masa sama JBPM juga mengawasi kawasan tersebut supaya tiada orang awam masuk," katanya.

Sementara itu, menurutnya, pihak JBPM akan terus bersama-sama agensi dan jabatan lain yang berada di dalam Jawatankuasa Kerja bagi menangani kejadian pencemaran toksik di Sungai Kim Kim bagi menyelesaikan masalah itu.