Sertai World #QuranConvention 'Fatherless Homes'

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengajak orang ramai untuk menyertai World #QuranConvention “Fatherless Homes” yang bersiaran langsung secara hibrid, pada pukul 8.30 pagi hingga 1 petang, 18 dan 19 Disember ini.

Konvensyen tersebut disiarkan dari Studio F, Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam dan boleh diikuti secara dalam talian di platform Zoom, Facebook Quran Hour dan Sinar Harian.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, World #QuranConvention bertujuan mengangkat peranan ayah sebagai ketua keluarga dan pemimpin masuk syurga sekeluarga.

“Surah Al-Mulk menjadi surah pilihan untuk membentuk kerangka fikir golongan bakal ayah dan ayah. Tiga motivasi daripada Surah Al-Mulk yang difokuskan ialah keberkatan dalam amalan dan pekerjaan; ingat mati dengan meningkatkan kualiti dan produktiviti serta doa; dan Ahsanu ‘Amala untuk menjadi mukmin yang lebih baik.

“World #QuranConvention kali kedua menjadi penutup bawa misi Surah al-Mulk selepas Malaysia #QuranHour dan World #QuranHour pada tahun ini. Sebenarnya misi #QuranHour yang kita jalankan selama ini setiap tahun ada satu surah dipilih.

“Kita berhasrat 114 surah dalam al-Quran yang dikupas menjadi penawar, petunjuk, pengajaran dan rahmat kepada diri, keluarga, organisasi, komuniti, negara dan global. Ini selari dengan misi WUIF, mengQurankan bangsa, mengikhlaskan Ummah pada 1500H.”

Penceramah dan qari dari dalam dan luar negara akan bersama memberi pengisian pada konvensyen tersebut. Acara dimulakan dengan sesi ucaptama “Fatherless Homes” oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.”

Artikel Berkaitan:

Antara penceramah jemputan ialah Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad; dan Pengasas Ar-Rahman Qur'anic Learning Centre dari Indonesia, Ustaz KH Bachtiar Nasir; Profesor Ulung Pusat Islamisasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hasan; dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Dato’ Dr Nooh Gadot.

Marhaini berkata, dalam menuju pelaksanaan konvensyen tersebut, Kempen Cerita Tentang Ayah dilancarkan bagi menggalakkan para ibu dan anak untuk “Write & Rewrite” (Tulis & Tulis Semula) cerita dan kisah perjalanan kehidupan bersama ayah agar hubungan kekeluargaan lebih bahagia dan harmoni.

Marhaini
Marhaini

“Ini selari dengan peranan ayah sebagai pemimpin, ibu pendamping, anak jambatan dan datuk nenek sebagai model untuk masuk syurga bersama keluarga.

“Sebanyak 14 kali dialog antara seorang ayah dan anak disebut dalam al-Quran, dua kali antara seorang ibu dan anak, manakala terdapat sekali disebut sama ada ayah atau ibu.

“Hal ini membuktikan betapa besarnya peranan ayah dalam membentuk institusi keluarga yang berteraskan al-Quran. Semoga ia menjadi sebuah permulaan mengukuhkan ahli keluarga menuju kebaikan.”

World #QuranConvention pertama yang membawa Surah Al-Kahf diadakan pada 2019 dengan kerjasama Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI). Majlis perasmian konvensyen tersebut telah disempurnakan oleh Mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Orang ramai yang ingin menyertai konvensyen selama dua hari secara percuma, boleh daftar di https://bit.ly/wqc2021, atau sertai pautan Zoom di https://bit.ly/ZOOMwqc2021. Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook Quran Hour.