Amaran banjir di Kuala Krai, Jeli bermula esok

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran banjir dijangka berlaku di jajahan Kuala Krai dan Jeli bermula esok.

Menurut kenyataan dikeluarkan jabatan itu hari ini, beberapa lokasi di dua jajahan tersebut dikenal pasti dijangka berlakunya banjir sekiranya hujan lebat berpanjangan di lembangan Sungai Kelantan.

"Lokasi dijangka banjir di Kuala Krai bermula antara jam 12 tengah malam hingga 4 pagi adalah Kampung Dabong, Kampung Manek Urai, Kampung Mesek, Kampung Gajah dan kawasan sekitarnya.

"Di Jeli pula dijangka melibatkan Kampung Lawar dan kawasan sekitarnya," menurut kenyataan itu.

Selain itu, terdapat beberapa lagi lokasi di jajahan Kuala Krai turut dijangka mengalami banjir pada esok bermula jam 8 hingga 10 pagi iaitu Kampung Bedal, Kampung Bukit Sireh, Taman Warisan, Kampung Pertang, Kampung Ngagoh, Kampung Pahi dan Kampung Aur Duri.

Turut dijangka terjejas banjir adalah Kampung Guchil, Kampung Jirat, Kampung Gatal, Kampung Batu Mengkebang, Kampung Keroh, Kampung Batu Jong dan kawasan sekitarnya.

Menurut info banjir JPS, kawasan lembangan Sungai Kelantan yang dikenal pasti adalah lima sungai di Kuala Krai iaitu Sungai Galas, Sungai Lebir, Sungai Nal, Sungai Durian dan Sungai Pahi manakala Sungai Pergau di Jeli. - Bernama

Artikel Berkaitan: