X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Dulu wartawan sambilan, kini pengusaha roti paung

Mokhtar atau lebih mesra dengan gelaran Pok Tar bersama roti paung.
A
A

KEMAMAN - Jika sebelum ini buku, pen serta alat rakaman audio menjadi 'teman' rapat, kini kehidupannya berubah selepas bergelumang dengan tepung, yis dan telur untuk menghasilkan roti paung.

Tidak pernah bermimpi untuk menjadi seorang pengusaha roti, garis kehidupan bekas wartawan sambilan, Mukhatar A. Rahman, 58, atau lebih mesra dengan gelaran Pok Tar berubah selepas isterinya, Fuziah Alias, 60, mengikuti kursus pembuatan roti pada Januari tahun lalu.

"Kebetulan, ketika itu saya tidak lagi bekerja selepas syarikat akhbar berkenaan ditutup pada Oktober 2019 dan pada akhir Januari tahun lalu, isteri mengikuti kursus dan membawa pulang roti yang dihasilkan.

"Keesokannya, saya terus ke kedai untuk mencari bahan bahan-bahan membuat roti paung. Setelah mencuba beberapa kali akhirnya roti paung yang dibuat menjadi lalu saya memuat naik gambar pada status Facebook dan Whatsapp,” katanya.

Antara roti paung yang dihasilkan Mokhtar dengan dibantu isteri, Fuziah Alias.
Antara roti paung yang dihasilkan Mokhtar dengan dibantu isteri, Fuziah Alias.

Menurut Mokhtar, dia tidak menyangka gambar roti paung yang pada mulanya dimuat naik di media sosial sekadar suka-suka menarik perhatian rakan-rakan terdekat sehingga ada yang membuat tempahan.

Kongsinya, bermula dari situ, rutin kehidupannya berubah. Kini, dia terpaksa bersengkang mata untuk menyiapkan tempahan roti termasuk untuk disedekah kepada pelajar-pelajar di pusat pengajian tahfiz serta rumah anak yatim.

"Ada rakan-rakan menempah roti paung antara RM10 hingga RM50 seorang. Ada juga yang buat tempahan untuk dihantar ke rumah anak yatim dan pusat tahfiz di sekitar Pekan Chukai, Kijal, Kemasik dan Binjai dua kali seminggu.

"Ada juga bekas rakan sekerja di Kuantan minta saya hantar roti ke sana. Saya beritahu tidak boleh hantar kerana tidak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi. Mujurlah mereka sanggup datang untuk ambil sendiri roti di Kemaman," katanya.

Antara roti paung siap dihasilkan untuk tempahan pelanggan.
Antara roti paung siap dihasilkan untuk tempahan pelanggan.

Perniagaan roti paung Mokhtar yang dijenamakan sebagi Roti Lembut Gebu beroperasi di Taman Semarak Binjai sejak 5 Februari tahun lalu.

Ditawarkan dalam lima pilihan iaitu roti paung inti kelapa, kacang, kaya, coklat dan roti kosong, ia dijual pada harga antara RM4.50 hingga RM6.50 setiap sebekas.

"Produk yang dihasilkan ini turut dipasarkan melalui medium media sosial peribadi saya selain berkongsi maklumat mengenainya melalui mulut ke mulut kenalan.

"Buat masa ini saya menyasarkan pengeluaran roti paung sekitar 250 hingga 300 bekas dalam tempoh sebulan dengan anggaran jualan RM1,500 hingga RM2,000," katanya.

Mokhtar memberitahu, tempahan rotinya meningkat ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 hingga 31 Mac tahun lalu.

"Ketika kerajaan mengumunkan PKP fasa pertama, saya mula terfikir untuk rehat dan hanya menerima tempahan kecil untuk rakan sekampung.

"Namun, tiga hari selepas PKP saya mula menerima panggilan daripada individu bertanyakan roti paung untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan," ujarnya.

Mokhtar menghantar Roti Lembut Gebu tempahan pelanggan ke sebuah pusat tahfiz.
Mokhtar menghantar Roti Lembut Gebu tempahan pelanggan ke sebuah pusat tahfiz.

Mokhtar berkata, tempahan tinggi diterima memandangkan banyak kedai makan ditutup dan dia perlu menyiapkan tempahan mengikut giliran.

"Sejak Januari lalu saya menerima tempahan tetap sebanyak RM200 sebulan daripada rakan media Terengganu selain RM200 sebulan oleh rakan grup Whatsapp dari Kuantan untuk diagihkan kepada rumah anak yatim, pusat tahfiz dan golongan asnaf.

"Mulai Oktober ini juga sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Kuala Lumpur pula melanggan Roti Lembut Gebu sebanyak RM200 sebulan untuk diagihkan kepada rumah anak yatim, pusat tahfiz dan golongan asnaf.

"Selain Terengganu, terdapat juga tempahan daripada rakan- rakan dari Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Penghantaran menggunakan perkhidmatan kurier dan kos ditanggung pelanggan," katanya.

Dalam pada itu, Mohtar yang hanya dibantu isteri berkata, perniagaan yang diusahakan akan dibangunkan walaupun berlaku kenaikan kos barangan yang digunakan.

Katanya, harga barang mentah termasuk aluminium foil meningkat antara 60 hingga 80 peratus bermula Julai lalu.

Mokhtar menghantar Roti Lembut Gebu tempahan pelanggan ke sebuah pusat tahfiz di Kemaman.
Mokhtar menghantar Roti Lembut Gebu tempahan pelanggan ke sebuah pusat tahfiz di Kemaman.

"Walaupun berlaku kenaikan harga barangan, harga jualan roti tidak berubah. Masih sama kerana saya tidak mahu membebankan pelanggan.

"Insya-ALLAH, jika ada rezeki, pertengahan tahun depan saya akan dirikan sebuah bengkel diatas tanah lot Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Lot Seri Jaya untuk dijadikan tempat memproses roti," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!