Rakyat Kedah terima bantuan 13 lori tangki air

Sesi pelepasan misi bantuan air oleh Syarikat Air Melaka Berhad ke Kedah bagi membantu krisis air yang meruncing di Merbok. - Foto: SAMB.
Sesi pelepasan misi bantuan air oleh Syarikat Air Melaka Berhad ke Kedah bagi membantu krisis air yang meruncing di Merbok. - Foto: SAMB.
A
A
A

MERBOK – Sebanyak 13 unit lori tangki air milik syarikat operator air pelbagai negeri dihantar bagi melaksanakan misi bantuan bekalan air sekaligus melegakan lebih 20,000 penduduk yang terjejas di Merbok.

Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip berkata, usaha yang digerakkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) itu telah menyelaras 13 lori tangki dari luar Kedah dengan matlamat mampu mengurangkan krisis air yang meruncing itu.

Menurutnya, antara bantuan yang diterima termasuk dari Lembaga Air Perak, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, Syarikat Air Melaka Berhad dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Nor Azrina ketika turun padang membincangkan masalah bekalan air di Merbok.
Nor Azrina ketika turun padang membincangkan masalah bekalan air di Merbok.

Menurutnya, kehadiran bantuan 13 buah unit lori tangki air itu ternyata memberikan sedikit kelegaan dalam situasi kritikal yang dihadapi kini.

“Lori tangki ini akan beroperasi sebagai feeder kepada lori-lori bantuan sedia ada di mana ia akan mengurangkan masa menunggu bagi mengisi air di Stand Post dan mempercepatkan operasi pengagihan bantuan bekalan air kepada pengguna,” katanya.

Beliau bagaimanapun melahirkan rasa dukacita atas krisis bekalan air terawat yang mengundang gangguan berterusan dalam Parlimen Merbok.

Ia turut menjejaskan hampir 5,000 akaun merangkumi lebih 20,000 penduduk sekitar termasuk premis awam seperti masjid, surau, sekolah dan bangunan persendirian seperti premis perniagaan dan rumah kediaman juga mengalami gangguan sama.

Pelepasan dibuat Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang bagi melaksanakan misi bantuan menghantar dua unit lori tangki ke Merbok.- Foto: Buletin Mutiara.
Pelepasan dibuat Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang bagi melaksanakan misi bantuan menghantar dua unit lori tangki ke Merbok.- Foto: Buletin Mutiara.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Amran Harun, 45, berkata, krisis air turut mengganggu rutin harian di Masjid Al-Husna Kampung Pengkalan Bujang setelah ketiadaan air untuk beribadat.

Menurutnya, sejak krisis bermula, pihak jawatankuasa terpaksa menghubungi Syarikat Air Darul Aman (SADA) bagi mendapatkan air setiap kali bekalan terputus.

“Kami kena telefon setiap hari, baru depa mai hantar. Selain nak guna untuk sembahyang, orang kampung pun mai mandi sini sejak air tak dak,” katanya.

Sebelum ini, katanya, penghantaran air tidak konsisten menyebabkan jawatankuasa menghantar surat permohonan rasmi bagi membolehkan bekalan dihantar setiap hari ke masjid berkenaan.

“Sampai bila masalah air nak berlaku, tiap-tiap tahun ada masalah sama tetapi tahun ni paling buruk, kami berharap agar ada penyelesaian segera yang boleh dilakukan bagi memastikan kegiatan harian penduduk tidak terganggu.

“Kita tau masalah kemarau, tetapi jadual hantar air perlu kerap dan cukup, barulah orang tak bising,” katanya.