Garuda tangguh hajat Naga Emas mara lebih awal

Antara aksi menarik perlawanan Vietnam menentang Indonesia dalam saingan Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan.
Antara aksi menarik perlawanan Vietnam menentang Indonesia dalam saingan Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan.
A
A
A

JUARA bertahan Vietnam, gagal dalam usaha layak ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 lebih awal apabila diikat tanpa jaringan ketika berdepan Indonesia dalam aksi Kumpulan B.

Walaupun Naga Emas yang menguasai perlawanan daripada minit pertama, mereka gagal untuk memecahkan tembok pertahanan Garuda, yang bertahan dengan baik untuk mengelakkan anak buah Park Hang-seo daripada memperolehi gol pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bishan itu.

Naga emas melaungkan amaran seawal minit kesembilan, namun rembatan Nguyen Thanh Chung dari luar petak penalti itu terlalu tinggi, sebelum cubaan kaki kiri Nguyen Quang Hai berjaya diselamatkan penjaga gol Ernando Ari Sutaryadi pada minit ke-28, dan kedudukan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan, Vietnam terus mengasak dengan agresif sebaik perlawanan bermula, namun gagal memperolehi sebarang gol, dengan peluang terbaik mereka pada minit ke-60 apabila Phan Van Duc hampir menjaringkan gol, namun sepakannya itu hanya sesasar sedikit ke sebelah kanan pintu gol.

Terdahulu Laos menamatkan kempen tahun ini tanpa sebarang mata, selepas tewas satu lagi perlawanan, kali ini kepada Kemboja 0-3.

Chan Vathanaka menjaringkan dua gol berselang 10 minit (31 dan 41) sebelum Sieng Changthea menjadikannya 3-0, dengan jaringannya pada minit ke-74.

Walaupun berkongsi tujuh mata dengan Vietnam, Indonesia kekal mendahului kedudukan Kumpulan B dengan kelebihan jaringan gol, manakala Malaysia kekal di tempat ketiga dengan enam mata, Kemboja (3 mata) dan Laos kekal di tangga terbawah, tanpa sebarang mata.

Indonesia akan bertemu Malaysia dalam perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional Singapura manakala Vietnam akan bertemu Kemboja di Stadium Bishan, dengan kedua-dua perlawanan berlangsung pada jam 8.30 malam, Ahad ini.

Artikel Berkaitan: