X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Blinken pendekkan lawatan ke Asia Tenggara

Blinken memendekkan lawatannya ke Asia Tenggara berikutan seorang daripada wartawan yang mengikuti rombangan beliau disahkan positif Covid-19 selepas tiba di Malaysia.
A
A

BANGKOK - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony J. Blinken memendekkan lawatannya ke Asia Tenggara berikutan seorang daripada wartawan yang mengikuti rombangan beliau disahkan positif Covid-19 selepas tiba di Malaysia.

Jurucakap Ned Price berkata, Blinken menghubungi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Thailand Don Pramudwinai melalui telefon dan menyatakan kekecewaannya tidak dapat melawat Bangkok.

Blinken terpaksa memendekkan lawatannya untuk mengurangkan risiko penularan dan atas faktor keselamatan serta kesihatan delegasi AS.

"Atas faktor itu, Setiausaha Negara akan kembali ke Washington DC," katanya dalam satu kenyataan.

Jurucakap itu berkata, Blinken turut mempelawa Don untuk melawat Washington DC.

"Beliau (Blinken) juga tidak sabar untuk melawat Thailand secepat mungkin,” katanya.

Blinken dijadualkan tiba di Bangkok petang ini, persinggahan terakhirnya sempena lawatan ke rantau Asia Tenggara selepas melawat Indonesia dan Malaysia.

Sementara itu, Kedutaan AS di Kuala Lumpur telah memaklumkan kepada kerajaan Malaysia mengenai kes positif Covid-19 membabitkan delegasi yang mengiringi Blinken.

Menurut kenyataan kedutaan tersebut, seorang anggota delegasi yang didapati positif itu mematuhi semua peraturan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Kami mengesahkan anggota itu tidak terlibat dan tidak menyertai mana-mana program Setiausaha Blinken di Kuala Lumpur. Kami juga mengesahkan semua yang lain didapati negatif sebaik tiba di Malaysia," menurut kenyataan itu.

Kedutaan mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan atas bantuan yang diberikan terhadap kesihatan dan kesejahteraan individu positif Covid-19 dan orang awam serta kerjasama Kementerian Luar. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!