Pertemuan antara Blinken dan Saifuddin berhasil

Petugas media mengikuti siaran secara langsung pada sidang media Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony J Blinken bersama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini. -Foto Bernama
Petugas media mengikuti siaran secara langsung pada sidang media Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony J Blinken bersama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony J Blinken yang kali pertama melakukan lawatan rasmi ke Malaysia dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdulllah telah mengadakan mesyuarat dua hala yang membuahkan hasil pada Rabu.

"Perbincangan kami adalah secara terbuka meliputi pelbagai bidang dan hubungan antara kedua-negara negara telah pun kukuh," kata Saifuddin semasa sesi dialog bersama pemuzik cacat pendengaran Jeshurun ​​Vincent yang telah melawat 102 negara dan banyak menyumbang kepada diplomasi budaya.

Blinken tiba di Kuala Lumpur pada malam Selasa untuk lawatan kerja dua hari. Beliau sebelum ini singgah di Jakarta, Indonesia dan akan meneruskan kunjungannya ke Bangkok, Thailand.

Saifuddin dalam ucapan aluan pada mesyuarat dua hala dengan Blinken berkata, boleh dikatakan bahawa Perkongsian Komprehensif Malaysia-AS kukuh sejak sekian lama dan percaya hubungan itu akan menjadi semakin kukuh dan menyeluruh.

Antara topik perbincangan bersama Blinken termasuk mengukuhkan kerjasama pelbagai hala dalam sektor perdagangan dan pelaburan, ekonomi digital, keselamatan siber, pertahanan, kesihatan dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Pada pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut bersetuju menyambung semula Dialog Peringkat Pegawai Kanan Malaysia-AS bagi berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu membabitkan kepentingan bersama.

Oleh kerana AS menjadi rakan kongsi penting ASEAN dalam bidang ekonomi digital serantau yang semakin maju, Saifuddin menggesa supaya benar-benar menimbang melabur dalam pembentukan syarikat pemula bernilai tinggi serta dalam inisiatif lain di bawah MyDIGITAL.

Mengenai keselamatan Siber, Saifuddin turut mengambil kesempatan untuk mendapatkan sokongan dan bantuan AS dalam pembangunan sebuah Pusat Perkongsian dan Analisis Maklumat (ISAC) di Malaysia, sama seperti entiti yang sudah dibentuk di AS.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua pemimpin turut menyentuh mengenai cabaran pandemik Covid-19 dan akses vaksin secara saksama di seluruh dunia.

Saifuddin turut meminta rakan sejawatannya untuk menyampaikan penghargaan kepada Presiden AS, Joe Biden dengan menyatakan bahawa Malaysia menghargai peranan AS dan sokongannya terhadap Kepusatan ASEAN serta amat mengalu-alukan penyertaan aktif AS di ASEAN.

AS adalah satu daripada rakan kongsi penting dalam pelaksanaan ASEAN Outlook mengenai Indo-Pasifik (AOIP). - Bernama