X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Kerajaan digesa tarik semula pindaan RUU Akta 342

Saifuddin Nasution Ismail
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen pembangkang menggesa kerajaan untuk menarik semula pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan juga perlu mengadakan perbincangan mendalam dengan Pakatan Harapan (PH) serta pembangkang amnya agar satu bentuk pindaan Akta 342 yang lebih baik dapat diperoleh dan dipersetujui bersama.

“PH meneliti secara terperinci RUU Akta 342 yang telah dibentang pada Selasa dan difahamkan bakal dibahas esok (Khamis).

“Walaupun satu pindaan tambahan telah dibawa hari ini (Rabu) yang mengurangkan denda dan kompaun bagi RUU tersebut, ahli-ahli Parlimen PH berpandangan bahawa RUU ini tetap membuka ruang yang luas untuk berlakunya salah guna kuasa, rasuah, serta amalan ‘antara dua darjat’.

“Justeru, saya menggesa kerajaan khususnya Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk menarik balik RUU ini dan mengadakan perbincangan mendalam dengan PH serta pembangkang amnya.

“Ini bertujuan agar satu bentuk pindaan Akta 342 yang lebih baik dapat diperoleh dan dipersetujui bersama,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, cadangan lima peruntukan baharu dan lima pindaan dalam RUU Akta 342 bakal memastikan kesinambungan penguatkuasaan peruntukan mengikut Ordinan Darurat sebelum ini.

Katanya, apabila diluluskan Dewan Rakyat kelak, ia antara lain menyaksikan penurunan kuasa untuk pelaksanaan penguatkuasaan, peruntukan mengenakan tindakan terhadap pertubuhan perbadanan serta penalti am terhadap individu dan pertubuhan perbadanan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!