Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit bergerak dalam jajaran kecil untuk ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS pada Rabu berikutan peserta pasaran mengambil pendekatan berhati-hati susulan perbincangan akhir Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada malam ini.

Pada jam 6 petang, unit tempatan berada pada 4.2260/2310 berbanding dolar AS daripada 4.2300/2340 sewaktu ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Harga Pengeluar Amerika Syarikat terkini yang meningkat pada 9.6 peratus pada November dan melebihi anggaran konsensus 9.2 peratus, menunjukkan Rizab Persekutuan (Fed) dijangka mengeluarkan kenyataan dengan kecenderungan menaikkan kadar faedah, pada malam Rabu.

“Selain itu, berikutan aliran data ekonomi yang agak memuaskan, Fed juga dijangka menaikkan ramalan makroekonominya. Ini akan benar-benar menerangkan mengapa ringgit telah didagangkan dalam jajaran kecil,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit ditutup tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain kecuali berbanding pound Britain yang merosot kepada 5.6033/6099 daripada 5.5929/5982 pada Selasa.

Unit tempatan itu naik berbanding euro kepada 4.7644/7700 daripada 4.7803/7848 sewaktu ditutup semalam, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0890/0931 daripada 3.0912/0946 sebelum ini, dan menokok berbanding yen Jepun kepada 3.7152/7199 daripada 3.7239/7278. - Bernama

Artikel Berkaitan: