Bursa Malaysia ditutup tinggi dalam dagangan berhati-hati

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Rabu berikutan belian saham berharga rendah dalam saham wajaran tinggi terpilih di tengah-tengah dagangan berhati-hati, kata peniaga.

Pada jam 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.89 mata kepada 1,482.81 daripada 1,480.92 sewaktu ditutup pada Selasa.

Indeks itu yang dibuka tinggi 0.93 mata kepada 1,481.85 bergerak antara 1,475.37 dan 1,484.63 pada sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 442 kepada 418, manakala 424 kaunter tidak berubah, 1,033 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan menokok kepada 2.82 bilion unit bernilai RM1.74 bilion daripada 2.68 bilion unit bernilai RM1.78 bilion pada Selasa.

Peniaga berkata, bursa tempatan dibuka tinggi berikutan belian saham berharga rendah selepas mengalami jualan besar-besaran semalam, namun bertukar rendah pada pertengahan sesi sehingga tamat sesi pagi berikutan jualan saham wajaran tinggi, diterajui saham telekomunikasi yang mempengaruhi indeks barometer.

“Pada sesi tengah hari, pasaran menyaksikan belian dari semasa ke semasa dengan jualan dalam saham wajaran tinggi terpilih, menyebabkan pasaran didagangkan dalam jajaran kecil sebelum berakhir positif,” katanya.

Pasaran Asia bercampur-campur pada Rabu dalam keadaan sentimen berhati-hati berikutan pelabur mempertimbang kesan varian Omicron terhadap pemulihan ekonomi global sementara menunggu pengumuman Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengenai hala tuju pasaran. Bank pusat AS akan mengadakan mesyuaratnya pada 14-15 Dis.

Artikel Berkaitan:

“Fed amat dinanti-nantikan para pelabur agar mempercepatkan masa mengurangkan pembelian bon dan mula menaikkan kadar faedah, terutamanya dengan inflasi yang kekal pada kadar lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun naik 0.10 peratus kepada 28,459.72, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 0.91 peratus kepada 23,420.76, Kospi Korea Selatan meningkat 0.05 peratus kepada 2,989.39, dan Indeks Straits Times Singapura merosot 0.25 peratus kepada 3,113.17.

Dalam saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank menambah satu sen masing-masing kepada RM8.10 dan RM4.01, Tenaga naik enam sen kepada RM9.29, IHH Healthcare turun dua sen kepada RM6.48, manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM8.61.

Bagi saham aktif, ATA IMS naik 14.5 sen kepada 69.5 sen, Pasukhas turun satu sen kepada 2.5 sen, Kanger jatuh setengah sen kepada dua sen, manakala BCM Alliance dan Pemaju Industries masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen dan empat sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas tinggi 22.25 mata kepada 10,815.44, Indeks FBMT 100 menokok 22.32 mata kepada 10,509.17 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 24.24 mata kepada 11,640.27.

FBM 70 pula menambah 65.10 mata kepada 13,939.30 dan FBM ACE naik 12.63 mata kepada 6,198.13.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.59 mata kepada 193.92 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 28.28 mata kepada 15,106.92, namun Indeks Perladangan susut 43.46 mata kepada 6,387.04.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama naik kepada 1.76 bilion saham bernilai RM1.53 bilion berbanding 1.67 bilion saham bernilai RM1.59 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 263.92 juta unit bernilai RM44.33 juta berbanding 219.22 juta unit bernilai RM32.98 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menokok kepada 794.20 juta saham bernilai RM165.63 juta daripada 777.32 juta saham bernilai RM157.04 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 418.51 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (698.32 juta), pembinaan (40 juta), teknologi (170.46 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (51.05 juta), hartanah (64.41 juta), perladangan (20.42 juta), REIT (8.28 juta), dana tertutup (271,800), tenaga (110.21 juta), penjagaan kesihatan (93.75 juta), telekomunikasi dan media (30.72 juta), pengangkutan dan logistik (24.85 juta) dan utiliti (25.07 juta). - Bernama