Pertanyaan yang diajukan kepada wakil rakyat dan ADUN berkenaan 5G

No Image Caption
A
A
A

Apakah asas dalam keputusan untuk mempercepatkan proses 5G?

Malaysia ketika ini berada di belakang jiran kita daripada segi penyediaan rangkaian 5G. Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina telah pun melancarkan rangkaian 5G mereka seawal 2019. Sebarang penangguhan lagi dalam pembangunan rangkaian 5G akan memberi impak terhadap daya saing negara dari segi ekonomi dan menjejaskan agenda pembangunan nasional.

Mengapakah sebuah syarikat milik penuh kerajaan dan bukannya sektor swasta yang dipertanggungjawabkan untuk pelaksanaan 5G?

Kerana pentingnya kesalinghubungan untuk pertumbuhan ekonomi digital, kerajaan telah mengambil tindakan untuk mengumunkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) pada Februari 2021. Salah satu tindakan utama di bawah inisiatif MyDIGITAL adalah penubuhan sebuah SPV, yang dinamakan Digital Nasional Berhad, untuk mempercepatkan pelaksanaan 5G, berdasarkan model pemulihan kos.

Memandangkan DNB adalah entiti baru, apakah rekod prestasi yang ada untuk dibandingkan dengan syarikat telekomunikasi yang telah lama berada di dalam operasi?

DNB telah ditubuhkan sejak hari pertama untuk dikendalikan dan diuruskan oleh veteran industri dan pakar sektor swasta.

Mengapa tiada syarikat telekomunikasi yang telah mendaftar dengan DNB pada masa ini?

Bagi membolehkan syarikat telekomunikasi untuk berdaftar dengan DNB, Tawaran Akses Rujukan (Reference Access Offer atau RAO) mestilah diterbitkan dahulu mengikut piawaian akses mandatori.

Artikel Berkaitan:

Walau apa pun, pada 1 Disember 2021, TM Berhad menandatangani Perjanjian Percubaan Rangkaian 5G dengan DNB. Telco lain juga dijangka menandatangani Perjanjian Percubaan Rangkaian 5G dengan DNB tidak lama lagi.

Adakah pelaksanaan rangkaian 5G akan menjadi monopoli dan dengan itu menyekat persaingan?

Industri telekomunikasi tidak tertakluk kepada Akta Persaingan 2010 (Akta 712) oleh ‘Malaysia Competition Commission’ (MyCC). Sehubungan itu, tidak timbul isu ketidakpatuhan Akta Persaingan atau penyalahgunaan kuasa pasaran untuk menjalankan aktiviti yang bersifat anti-persaingan atau monopoli. Isu persaingan dalam industri telekomunikasi dikawal di bawah Akta 588 dan bukan di bawah Akta 712.

Peraturan ketat dikenakan oleh SKMM sebagai badan kawal selia bagi industri komunikasi. Dalam hal ini, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menyediakan rangka kerja kawal selia yang mencukupi untuk mengawal selia aktiviti DNB. In termasuk, antara lain:

- Mewajibkan DNB untuk menawarkan kapasiti borong 5G kepada pemegang lesen di bawah Akta 588 atas dasar akses yang adil dan sama rata;
- DNB tidak dibenarkan terlibat dalam aktiviti runcit. Pasaran runcit bergantung kepada syarikat telekomunikasi yang bersaing mengikut kekuatan masing-masing;
- Kapasiti borong 5G yang dijual kepada syarikat telekomunikasi bergantung kepada keperluan syarikat, secara individu. DNB tidak dibenarkan menentukan penyediaan kapasiti 5G kepada syarikat telekomunikasi;
- Harga borong 5G akan ditetapkan dan diluluskan oleh SKMM selepas rundingan dengan DNB dan syarikat telekomunikasi selesai. Harga ini akan dinyatakan dalam dokumen RAO yang akan diterbitkan; dan
- SKMM juga mengawal selia prestasi DNB dari segi ‘Kualiti Perkhidmatan’ (QOS) melalui pendekatan ‘Perjanjian Tahap Perkhidmatan’ (SLA) yang akan diterbitkan dalam dokumen RAO.

Bagaimanakah DNB dikawal selia?

- DNB dikawal selia oleh Lembaga Pengarah yang dianggotai tujuh ahli, dua daripada kerajaan dan lima daripada sektor swasta, kesemuanya memiliki latar belakang profesional dalam operasi telco, keselamatan cyber, perundangan dan kewangan.

- Sebagai syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan, DNB perlu melaporkan kepada Kementerian tersebut mengenai prestasi operasi dan kewangannya.

- Sebagai pemegang lesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, DNB dikawalselia oleh SKMM, di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia

- Selain itu, oleh kerana DNB dibiayai oleh sektor swasta, DNB perlu memenuhi segala tanggungjawab dan syarat-syarat ketat berkaitan penggunaan dana dari institusi kewangan dan para pelabur.

- Oleh itu, DNB perlu mematuhi 4 tahap urus tadbir yang ketat, yang dapat memastikan operasi DNB dikendalikan dengan penuh integriti.

No Image Caption

Berapakah kos pelaksanaan 5G kepada Rakyat?

DNB yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan dan di kawal selia oleh SKMM, akan mendapatkan pembiayaan yang diperlukan daripada sektor perkhidmatan kewangan swasta. Dengan itu, pembiayaan Kerajaan untuk pelaksanaan projek ini tidak diperlukan.

Dari mana datangnya dana dan berapa banyak yang akan dibelanjakan oleh Kerajaan atas tanggungan Rakyat?

Kos perlaksanaan 5G dianggarkan mencecah RM16.5 bilion bagi tempoh 10 tahun akan datang. Kos pelaksanaan rangkaian 5G akan dibiayai melalui gabungan pembiayaan tertunda kepada vendor, pembiayaan perdagangan dan modal kerja dan program Sukuk yang akan diterbitkan dalam pasaran modal hutang domestik.

DNB akan mendapatkan pembiayaan yang diperlukan daripada sektor perkhidmatan kewangan seperti bank-bank, dan akan seterusnya membayar semula melalui hasil jualan borongnya yang dijana daripada penjualan kapasiti borong. Dengan itu, pembiayaan Kerajaan untuk pelaksanaan projek ini tidak diperlukan.

Mengapa kita memerlukan 5G pada masa ini, sedangkan janji 4G belum dipenuhi?

Pandemik Covid-19 telah menunjukkan kepentingan teknologi digital dan permintaan untuk kesalinghubungan. Penggunaan data yang meningkat secara mendadak telah menyebabkan rangkaian 4G sedia ada tidak dapat menampung permintaan pengguna. Permintaan untuk data hanya akan terus meningkat, dan infrastruktur telekomunikasi Malaysia perlu memenuhi permintaan ini.

Adakah proses tender terbuka dan jika ya kepada siapa ia diberi?

Proses tender DNB telah distrukturkan sebuah firma perkhidmatan profesional bebas, Ernst & Young Consulting Sdn. Bhd. (EY Consulting), mengikut piawaian global dan melibatkan (4) panel, yang terdiri daripada 50 pakar tempatan dan antarabangsa dari 10 negara dengan pengalaman pelancaran rangkaian 5G.

Process ini bermula dengan penilaian awal empat belas (14) Pembekal Perkakasan Rangkaian (Network Equipment Provider atau NEP), selepas itu lapan (8) telah disenarai pendek dan dijemput untuk mengemukakan bidaan. Terdapat 4 tawaran akhir diterima. Keperluan tender adalah berdasarkan kriteria yang dikenal pasti dan diperhalusi melalui proses yang ketat dengan maklum balas industri mengenai keperluan rangkaian 5G, dan dikongsi dengan semua NEP yang dijemput.

Terdapat perbincangan webinar baru-baru ini dengan GSMA dan terdapat banyak kebimbangan mengenai model SWN, apa komen anda?

Untuk manfaat industri dan pengguna, pihak Kerajaan telah memperkasakan DNB untuk menyediakan perkhidmatan 5G secara borong pada kos serendah mungkin:

- Pertama, sebagai penyedia 5G tunggal di negara ini, DNB hanya akan membekalkan perkhidmatan borong 5G kepada MNO dan para pemegang lesen telekomunikasi yang lain, dan tidak akan bersaing dengan mana-mana syarikat telekomunikasi dalam menyediakan perkhidmatan runcit kepada pelanggan akhir mereka.


- Kedua, DNB akan bekerjasama dengan pembekal telekomunikasi dan infrastruktur untuk membina rangkaian 5G dengan menggunapakai infrastruktur sedia ada sebanyak mungkin, dan dengan itu, dapat mengurangkan pertindihan serta kos, serta menggalakkan pelaburan dalam inovasi dan perkhidmatan.


- Ketiga, penggabungan spektrum 5G dalam entiti tunggal yang neutral seperti DNB akan membolehkan kecekapan spektrum yang lebih mantap (berbanding pembahagian spektrum sebagai sumber yang terhad kepada berbilang pihak), lalu membolehkan DNB menyediakan perkhidmatan 5G secara borong pada kos yang rendah.
Model SWN adalah model yang paling sesuai untuk mempercepatkan pelaksanaan dan ketersediaan produk dan perkhidmatan 5G di seluruh negara, yang akan bermula dengan internet berkelajuan tinggi yang stabil.

Untuk artikel selanjutnya berkenaan 5G kini tersedia untuk Keluarga Malaysia boleh klik di sini: https://www.sinarharian.com.my/article/178024