Khidmat PPS di sekolah mampu cegah kes buli

Datuk Seri Mazlan Lazim (kiri) menyampaikan sumbangan asnaf zakat kepada pesara polis Sarjan Rahim Mamat pada Perhimpunan Khas Sempena Lawatan Kerja di IPK Perak pada Rabu. - Foto Bernama
Datuk Seri Mazlan Lazim (kiri) menyampaikan sumbangan asnaf zakat kepada pesara polis Sarjan Rahim Mamat pada Perhimpunan Khas Sempena Lawatan Kerja di IPK Perak pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Pihak pengurusan sekolah disaran menggunakan khidmat anggota polis yang dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dalam menangani kes buli di institusi pendidikan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, setiap sekolah mempunyai sekurang-kurangnya seorang PPS dan dua orang PPS bagi sekolah yang besar.

Menurutnya, sebarang maklumat awal berkaitan kejadian buli di sekolah seperti yang berlaku sebelum ini boleh disalurkan kepada PPS berkenaan untuk tindakan lanjut pihak polis.

"Saya rasa pihak pengetua atau guru besar atau guru warden boleh berbincang dengan PPS tersebut.

"Jadi, pihak kita letak satu dan mereka boleh dipanggil sebagai pegawai perhubungan di sekolah tersebut bagi memastikan segala maklumat yang ada di sekolah tersebut boleh disalurkan kepada pihak polis secepat mungkin.

"Sekurang-kurangnya apabila ada polis yang dipertanggungjawabkan di sekolah tersebut, respons akan dapat cepat dan maklum balas pun cepat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Khas sempena Lawatan Kerja Timbalan Ketua Polis Negara ke Kontinjen Perak di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihak sekolah perlu memanfaatkan penempatan PPS itu untuk kesejahteraan institusi masing-masing.

Pada Selasa, Mazlan berkata, polis akan melengkapkan siasatan secepat mungkin bagi kes buli membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak yang tular itu.

Menurut beliau, hasil siasatan kes tersebut akan diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan selanjutnya.

Seramai 10 pelajar berumur antara 13 hingga 15 tahun ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes tersebut dan kesemua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Kelmarin, Jawatankuasa Disiplin Bahagian Pendidikan Menengah Mara menamatkan pengajian 10 pelajar MRSM berkenaan yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli itu.

Menurut Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf, mesyuarat itu telah mengkaji kes tersebut dengan teliti dan mengambil keputusan menamatkan pengajian pelajar terbabit berkuat kuasa Selasa.