Tindakan susulan perubahan iklim perlu dilaksana segera: PM

Ismail Sabri. - Foto Bernama
Ismail Sabri. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan susulan perubahan iklim perlu dilaksana segera bagi mengelakkan peningkatan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa.

Perkara tersebut dibincangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Ketiga Majlis Air Negara (MAN) 2021 secara maya pada Rabu.

Beliau berkata, negara perlu memberi perhatian serius terhadap impak peningkatan suhu global melebihi 1.1 darjah Celsius yang mengakibatkan musim kering dan kekerapan kejadian banjir.

“Justeru, mesyuarat menyarankan supaya tindakan mengambil kira faktor kesan perubahan iklim dilaksana segera dalam perancangan pembangunan.

“Ini penting supaya negara dapat mengelakkan peningkatan kerosakan harta benda dan juga kehilangan nyawa pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri-Menteri Persekutuan, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan ketua-ketua jabatan serta agensi yang berkaitan.

MAN adalah platform penting bagi penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dan negeri bagi menetapkan dasar, hala tuju dan pendekatan berhubung dengan pengurusan dan pembangunan air negara.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bertindak sebagai sekretariat majlis.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, mesyuarat turut menegaskan agenda transformasi sektor air yang bermula di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sehingga Rancangan Malaysia Ke-15 (RMK15).

“Agenda ini akan menjadikan sektor air sebagai pemboleh daya ekonomi serta penjana pertumbuhan yang dinamik menjelang tahun 2040.

“Kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri adalah amat penting dalam memastikan agenda transformasi tersebut berjaya,” katanya.