Pelaksanaan subsidi petrol bersasar belum dimuktamadkan

Petrol RON95 dan RON97. -Foto Bernama
Petrol RON95 dan RON97. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan masih belum membuat keputusan muktamad mengenai mekanisme pelaksanaan subsidi petrol secara bersasar, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Chong Chieng Jen.

Beliau berkata kementeriannya bersama Kementerian Kewangan masih dalam proses pertimbangan dan penelitian terhadap apa-apa cadangan yang dikemukakan yang seterusnya akan dibentangkan kepada kedua-dua kementerian itu.

”Kita (KPDNHEP) beri perhatian kepada penduduk di bandar dan di luar bandar dan untuk perkara itu satu keputusan muktamad belum dibuat tentang apakah mekanisme yang akan dilaksanakan.

"Kementerian Kewangan telah meminta tender terbuka untuk pihak-pihak yang berminat untuk mencadangkan mekanisme terbaik bagi pelaksanaan subsidi sasaran itu," katanya menjawab soalan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, mekanisme yang bakal digunakan itu akan memenuhi tiga ciri utama iaitu 'seamless' di mana pelaksanaannya mesti lancar dan memudahkan pengguna, sistem itu perlu mempunyai ciri-ciri keselamatan tinggi dan tidak boleh disalahgunakan dan akan bantu elak ketirisan.

Ciri ketiga sistem itu, katanya, ialah ia mesti boleh digunakan di semua stesen minyak sama ada di bandar atau di luar bandar.

Mengulas mengenai isu sama, Chong berkata kementerian itu juga melihat untuk memberi subsidi bersasar itu kepada pemilik kenderaan pacuan empat roda yang tinggal di kawasan pedalaman setelah mengambil kira faktor geografi kawasan pedalaman dan kenderaan itu ialah mode pengangkutan utama yang digunakan penduduk pedalaman. -Bernama

Artikel Berkaitan: