Pendidikan golongan B40 tidak terabai

Kerajaan sentiasa menyediakan peruntukan besar dalam sektor pendidikan bagi memastikan murid sekolah dapat menerima pembelajaran yang berkualiti.
Kerajaan sentiasa menyediakan peruntukan besar dalam sektor pendidikan bagi memastikan murid sekolah dapat menerima pembelajaran yang berkualiti.
A
A
A

Keperluan murid, pelajar universiti golongan berpendapatan rendah terus diberikan perhatian

SHAH ALAM - Tempoh pandemik sejak hampir dua tahun telah memberikan kesan amat buruk kepada hampir kesemua sektor utama di dalam negara.

Tidak terkecuali menerima impak negatif tersebut adalah sektor pendidikan negara yang berhadapan dengan cabaran getir tidak kira di peringkat sekolah rendah, menengah mahupun universiti.

Antara isu utama membelenggu pendidikan negara sepanjang pandemik adalah lanjutan penutupan sekolah dalam tempoh yang agak lama dan kekangan untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan berkesan.

Tentunya, situasi tersebut secara langsung memberikan kesan negatif terhadap proses pembelajaran murid dan pelajar universiti khususnya buat mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah.

Ini kerana kebanyakan murid dan pelajar universiti daripada kelompok B40 menghadapi masalah mendapatkan akses kepada peranti dan kemudahan internet yang sangat diperlukan bagi memastikan keberkesanan PdPR.

Selain itu, penutupan sekolah di seluruh negara sebelum ini juga secara tidak langsung menjejaskan pengambilan nutrisi dan khasiat makanan diperlukan oleh murid daripada keluarga berpendapatan rendah yang bergantung kepada program bantuan makanan di sekolah.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Sehubungan dengan itu, untuk mengatasi isu tersebut, Kementerian Kewangan menerusi Belanjawan 2021 yang memberikan peruntukan terbesar kepada Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu sebanyak RM50.4 bilion telah mengambil beberapa langkah bagi menangani isu tersebut.

Antara inisiatif diambil untuk membantu murid dan pelajar universiti B40 adalah pelaksanaan projek rintis pemberian komputer riba kepada 150,000 pelajar B40 oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui tabung CERDIK dengan dana berjumlah RM150 juta.

Di samping itu, kerajaan dalam belanjawan tersebut turut menambah baik Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dengan penyediaan bekalan susu daripada dua kali seminggu kepada setiap hari persekolahan membabitkan peruntukan RM420 juta.

Bagi pelajar IPT pula, kerajaan bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk menyediakan RM100 juta bagi pembiayaan Skim BSN MyRinggit-i COMSIS menerusi skim pinjaman komputer riba.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada awal tahun ini turut memaklumkan kira-kira 200,000 pelan data dan 4,000 peranti telah diagihkan kepada pelajar kumpulan B40 menerusi Inisiatif Pakej Pelan Data dan Peranti.

Bantu ringankan beban

No Image Caption

Pembukaan semula sektor pendidikan negara dengan kembalinya sesi pengajaran secara bersemuka tentunya memberikan cabaran baharu kepada ibu bapa berpendapatan rendah khususnya dari segi penyediaan kewangan untuk memastikan kelengkapan persekolahan anak-anak.

Sehubungan itu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa membentangkan Bajet 2022 pada November lalu mengumumkan kerajaan akan menyediakan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150.

Beliau berkata, peningkatan kadar bantuan yang dahulunya diberikan sebanyak RM100 itu membabitkan peruntukan sebanyak RM450 juta dan ia dijangka memanfaatkan sebanyak 3 juta murid yang layak di seluruh negara.

Dalam pada itu, bagi memastikan proses pengajian pelajar universiti B40 terus terpelihara, Tengku Zafrul berkata, kerajaan bakal melaksanakan inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di IPT.

“Bagi tujuan ini, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM450 juta di samping komitmen

syarikat telekomunikasi yang turut menyumbang kira-kira RM65 juta. Insya-Allah, seramai 600,000 mahasiswa daripada keluarga B40 bakal menerima manfaat daripada inisiatif ini,” katanya.

Susulan daripada itu, kerajaan pada Oktober lalu melancarkan pakej langganan baharu iaitu Pakej Remaja Keluarga Malaysia bagi membantu remaja dan pelajar universiti mendapatkan peranti dan akses kepada kemudahan internet.

REAKSI

Rosni
Rosni

“Inisiatif untuk meneruskan pelaksanaan RMT sangat bagus dalam membantu murid yang memerlukan bagi mendapat nutrisi yang mencukupi. Ia juga bantu meringankan bebanan ibu bapa.” - Rosni Osman, 56, pekerja swasta.

Norziana
Norziana

“Jumlah yang diperuntukkan kerajaan menerusi bantuan awal persekolahan ini sangat membantu untuk ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan anak-anak seperti pakaian sekolah, buku latihan, beg sekolah dan alatan menulis.” - Norziana Sapari, 46, peniaga runcit

Nasirrudin
Nasirrudin

“Tindakan kerajaan laksanakan pemberian bekalan susu menerusi program RMT adalah sangat baik. Jadi dengan bantuan kerajaan ini dapatlah meringankan beban ibu bapa.” Nasirrudin Ngadi, 50, peniaga kecil

Muharram
Muharram

“Dengan situasi di mana majoriti pelajar masih mengikuti kelas secara dalam talian, pemberian tablet ini sangat membantu untuk memudahkan proses pembelajaran pelajar.” - Muharram Anuar, 23, pelajar

Nur Khairin
Nur Khairin

“Bantuan pelan internet diberikan dapat kurangkan kos yang perlu ditanggung pelajar B40. Penggunaan internet sangat penting terutamanya ketika pelajar banyak hadiri kelas dalam talian.” - Nur Khairin Khuzaini, 21, pelajar

Muhammad Syaabani
Muhammad Syaabani

“Dengan adanya inisiatif pelan data internet pada harga yang rendah ini, ia dapat menjimatkan perbelanjaan pelajar. Pelajar boleh guna lebihan duit itu untuk beli buku rujukan, barang keperluan studio dan projek kelas.” - Muhammad Syaabani Mohd Rafie, 21, pelajar