Naga Emas talian hayat Harimau Malaya?

Vietnam boleh dianggap sebagai 'kingmaker' dalam perebutan dua slot ke separuh akhir bagi saingan Kumpulan B memandangkan keputusan perlawanan mereka mempengaruhi nasib Malaysia dan Indonesia ke peringkat seterusnya.
Vietnam boleh dianggap sebagai 'kingmaker' dalam perebutan dua slot ke separuh akhir bagi saingan Kumpulan B memandangkan keputusan perlawanan mereka mempengaruhi nasib Malaysia dan Indonesia ke peringkat seterusnya.
A
A
A

SETELAH tewas kepada juara bertahan Vietnam, Indonesia adalah tembok terakhir di peringkat kumpulan perlu ‘diruntuhkan’ Malaysia yang menyasarkan layak ke final Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

Namun, sama ada Malaysia mampu melangkah ke peringkat separuh akhir terlebih dahulu, kini menjadi persoalan berdasarkan kedudukan skuad kebangsaan di tempat ketiga di belakang Indonesia dan Vietnam yang bermain kurang satu perlawanan dalam saingan Kumpulan B.

Jika Vietnam menang atau seri berdepan Indonesia pada perlawanan ketiga masing-masing di Stadium Bishan, pada Rabu, ia bermakna Malaysia perlu memastikan tiga mata menjadi milik mereka ketika bertemu skuad Garuda pada aksi terakhir di Stadium Nasional Singapura, 19 Disember ini.

Tetapi situasi akan menjadi sangat rumit buat anak buah Tan Cheng Hoe jika Indonesia yang kini menerajui saingan kumpulan mencipta kejutan menewaskan Vietnam meskipun atas kertas skuad Naga Emas mempunyai kelebihan meraih tiga mata.

Kemenangan bukan sahaja mengukuhkan lagi posisi Indonesia di puncak kumpulan berbekalkan sembilan mata, malah skuad bimbingan jurulatih dari Korea Selatan, Shin Tae-yong itu pasti lebih bermotivasi bagi menghadapi pasukan negara.

Sekalipun Indonesia menang ke atas Vietnam dan kemudian tewas di tangan pasukan negara, ketiga-tiga pasukan bakal menamatkan saingan kumpulan dengan pungutan mata sama andai skuad Naga Emas menepati ramalan menjinakkan Kemboja pada aksi terakhir mereka.

Ia sekali gus menyaksikan perbezaan jaringan dan rekod pertemuan akan menjadi kriteria untuk menentukan pasukan mana layak ke separuh akhir.

Dengan kelebihan perbezaan jaringan tiga gol dimiliki Indonesia berbanding pasukan negara ketika ini, skuad kebangsaan tidak mempunyai pilihan selain daripada menang ke atas pasukan republik itu dengan jumlah jaringan besar untuk mara ke separuh akhir, andai skuad Garuda berjaya mengatasi Vietnam.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, adakah barisan pemain Tae-yong, pasukan di ranking ke-166 dunia itu berupaya meraih kemenangan berdepan Vietnam bimbingan Park Hang-seo di kedudukan ke-99 dunia?.

“Memang nampak kelebihan pada Vietnam, dan pada saya untuk Indonesia nak menang dengan Vietnam, sukarlah,” kata bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Dollah Salleh yang membawa Malaysia ke final Piala AFF 2014 ketika dihubungi pada Selasa.

“Saya percaya Indonesia susah nak kutip mata berdepan Vietnam sebab apa yang saya lihat masa Indonesia lawan Kemboja, saya nampak benteng pertahanan Indonesia pun banyak kelonggaran di situ,” kata pengendali berusia 58 tahun itu.

Berpandangan sama adalah pemerhati bola sepak tempatan Mohd Sadek Mustafa yang berpendapat dengan status Vietnam sebagai pasukan terbaik di Asia Tenggara dan pengalaman beraksi di pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia, mereka tidak berdepan kesukaran menewaskan Indonesia.

“Pasukan seperti itu bila bermain menentang tahap pemain negara seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Malaysia, saya rasa mereka boleh menguasai permainan. Jangkaan saya 60 peratus kemenangan berpihak Vietnam, tapi tak mustahil Indonesia boleh cipta kejutan," kata Mohd Sadek.

Namun pensyarah kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, Shah Alam itu mengakui aksi menentang Indonesia yang tampil dengan taktikal serta intensiti berbeza pada kempen kali ini bukan mudah buat skuad kebangsaan yang diuji dengan beberapa musibah sebelum dan semasa di Singapura.

“Kita punya 'attacking midfielder' tidak begitu mantap berbanding Indonesia, kelebihan mereka di situ. Kita juga ada kelompongan di bahagian pertahanan dengan beberapa kecederaan menjadikan bahagian itu kini tidak stabil. Indonesia juga mempunyai beberapa pemain yang amat pantas," katanya.

Maka daripada situasi terkini, Vietnam boleh dianggap sebagai 'kingmaker' dalam perebutan dua slot ke separuh akhir bagi saingan Kumpulan B memandangkan keputusan perlawanan mereka mempengaruhi nasib Malaysia dan Indonesia ke peringkat seterusnya.

Tetapi pasukan negara yang muncul naib juara edisi 2018 tidak boleh bergantung kepada keputusan aksi Indonesia dan Vietnam untuk mara, sebagai pasukan ‘bermaruah’ barisan pemain perlu ada keyakinan tinggi umpama ‘Harimau Malaya’ ketika berdepan skuad Garuda bagi meraih tiga mata dengan bergaya.

Selepas tiga aksi, skuad kebangsaan kini di kedudukan ketiga, berkongsi enam mata bersama Indonesia dan Vietnam yang bermain kurang satu perlawanan, manakala Kemboja dan Laos masing-masing di tempat tercorot tanpa sebarang mata. - Bernama