Penduduk rayu kekalkan tapak perkuburan

Terdapat kubur-kubur lama dipercayai dari abad ke-16 di lot tanah perkuburan Islam berhampiran RPT Pengkalan Permai.
Terdapat kubur-kubur lama dipercayai dari abad ke-16 di lot tanah perkuburan Islam berhampiran RPT Pengkalan Permai.
A
A
A

IPOH - Penduduk sekitar Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Pengkalan Permai di sini merayu agar sebuah lot tanah seluas lebih dua hektar berhampiran dikekalkan sebagai tapak perkuburan Islam.

Pengerusi Jalinan Bersatu Sahabat Perak (Jabat), Amiruddin Mohd Daud berkata, pihaknya mendapat maklumat bahawa tapak perkuburan yang turut menempatkan kubur-kubur lama dari abad ke-16 itu akan dibina sebuah masjid baharu.

"Lot ini telah diwartakan sebagai tanah perkuburan Islam oleh pihak pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 8 Ogos 1910.

"Tetapi kenapa tapak ini dipilih untuk dibina masjid sedangkan sebuah rizab masjid telah diwartakan terletak kurang 100 meter dari tapak ini," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Menurutnya, penukaran pengezonan tanah itu dipercayai tidak mematuhi Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Ipoh 2035.

Lot tanah perkuburan Islam diwartakan oleh pihak pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 8 Ogos 1910.
Lot tanah perkuburan Islam diwartakan oleh pihak pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 8 Ogos 1910.

"Pihak berwajib perlu menjelaskan perkara ini berikutan kerja-kerja meratakan tanah telah dilakukan sejak dua minggu lalu hingga memusnahkan sebahagian kubur-kubur lama yang mempunyai nilai sejarah dan warisan.

Artikel Berkaitan:

"Kepadatan penduduk di kawasan ini semakin tinggi dan keperluan lot ini sebagai tanah wakaf adalah bertepatan untuk satu tempoh jangka panjang. Perkara ini patut dilihat semula oleh agensi terlibat," katanya.

Dalam pada itu, seorang pengkaji sejarah memaklumkan kawasan itu yang dahulunya dikenali sebagai Kampung Kuala Punti dibuka sekitar tahun 1620 pernah menjadi pusat pemerintahan Kinta.

Amiruddin (kiri) bersama Meor Razak melihat pelan di kawasan terbabit bagi meninjau aduan penduduk.
Amiruddin (kiri) bersama Meor Razak melihat pelan di kawasan terbabit bagi meninjau aduan penduduk.

Beliau yang enggan dikenali berkata, terdapat makam-makam lama termasuk Makam Tok Asar iaitu pelopor Kuala Punti di kawasan tanah perkuburan berkenaan yang berkait rapat dengan sejarah Kinta dan mempunyai nilai warisan.

"Kubur lama tiada batu nisan sebaliknya dalam bentuk busut dan batu sungai. Sekiranya betul ada kubur, tidak boleh bina masjid di atasnya.

"Sebuah kajian perlu dilakukan bagi menentukan makam yang terdapat di situ dan menentukan nilai sejarah dan warisan kawasan Kuala Punti," katanya.

Pelan menunjukkan lot tersebut diwartakan sebagai tanah perkuburan Islam dan terdapat rizab masjid dipaparkan di kawasan sama.
Pelan menunjukkan lot tersebut diwartakan sebagai tanah perkuburan Islam dan terdapat rizab masjid dipaparkan di kawasan sama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, cadangan pembinaan masjid itu dikemukakan oleh Jawatankuasa Penaja Masjid RPT Pengkalan Permai kepada MAIPk berdasarkan seksyen 27 Enakmen Wakaf (Perak) 2015.

"Keputusan MAIPk membenarkan tanah perkuburan tersebut digunakan untuk pembinaan masjid adalah berpandukan kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa pada 14 Jun lalu selaku pihak berkuasa utama berhubung hukum syarak.

"Selain itu, pembinaan itu hanya melibatkan keluasan 0.89 hektar sahaja berbanding 2.2 hektar keseluruhannya dan sama sekali tidak melibatkan kawasan yang terdapat kubur-kubur lama," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Kerja-kerja meratakan tanah telah dijalankan di lot berkenaan bagi membina sebuah masjid.
Kerja-kerja meratakan tanah telah dijalankan di lot berkenaan bagi membina sebuah masjid.

Menurutnya, pihaknya terbuka kepada sebarang perbincangan supaya cadangan pembangunan ini dapat dilaksanakan dengan lancar, harmoni dan memberi faedah kepada masyarakat Islam.

"Segala keputusan dan tindakan MAIPk tersebut adalah demi kemaslahatan ummah berikutan kawasan tersebut mempunyai sembilan taman perumahan yang padat lebih 3,000 keluarga dan lebih 13,000 orang yang beragama Islam.

"Ketika ini terdapat dua buah surau di kawasan tersebut dan bagi solat Jumaat, ahli kariah akan ke Masjid Ibnu Salam yang jaraknya 3.5 kilometer dan terpaksa melalui jalan utama yang sesak," katanya.