Nenek bersama anak cucu nyaris rentung

Api yang marak membakar rumah yang didiami lima keluarga malam tadi.
Api yang marak membakar rumah yang didiami lima keluarga malam tadi.
A
A
A

KOTA BHARU - Lima sekeluarga nyaris rentung dalam kebakaran yang berlaku membabitkan satu rumah kedai dua tingkat dan satu rumah kediaman di Kampung Kedai Bukit Marak, Bachok, di sini, semalam.

Warga emas, Raziah Yaccob, 63, bersama anak bongsunya Mariah Mamat, 31, serta tiga lagi cucunya, Che Amirul Hafizi Che Zahari,20; Che Mohd Faiz Afza Che Zahari,19; Mukriz Aiman Abdullah, 14, sedang nyenyak tidur di dalam rumah sebelum menyedari kejadian pada jam 1.40 pagi.

Raziah berkata, dia yang tidur di ruang tamu rumah terjaga dari tidur apabila terdengar teriakan orang ramai yang memberitahu rumahnya terbakar.

Raziah (kiri), Mukriz Aiman dan Mariah melihat sisa kebakaran rumah mereka.
Raziah (kiri), Mukriz Aiman dan Mariah melihat sisa kebakaran rumah mereka.

“Masa tu, saya bingkas bangun dan ternampak api besar menjulang dari arah kiri rumah yang menempatkan bahagian dapur.

“Dalam keadaan kalut itu, saya sempat berlari ke arah bilik utama dan mencapai kesemua dokumen penting yang sudah biasa diletakkan satu tempat dan keluar bersama anak serta cucu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian tadi.

Menurutnya, kejadian kebakaran itu berlaku sangat pantas dan semua kelengkapan di dalam rumah serta dua motosikal hangus dalam tempoh 15 minit.

Artikel Berkaitan:

Mukriz Aiman (kiri) bersama rakan menunjukkan itik yang hangus dalam kejadian itu.
Mukriz Aiman (kiri) bersama rakan menunjukkan itik yang hangus dalam kejadian itu.

“Cucu saya sempat alihkan kereta jenis Proton Saga dan sebuah motosikal jenis Honda EX5 miliknya, namun dua lagi motosikal lama yang terletak pada bahagian depan rumah tidak sempat diselamatkan dan hangus.

“Sangat terkejut, tetapi Alhamdulillah kami lima beranak terselamat, namun rumah yang hangus ini pula saya tetap reda, hendak buat macam mana, ujian datang setara ini,” katanya sebak.

Raziah sekeluarga turut buntu memikirkan tempat tinggal mereka selepas ini dan bantuan kepada keluarga ini boleh disalurkan menerusi akaun BSN Raziah Yaccob 0310629893129841.