X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Ras Adiba mohon kerajaan tukar tarikh Hari Batik Malaysia

Ras Adiba - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta supaya mempertimbangkan untuk menukar tarikh Hari Batik Malaysia yang ditetapkan pada 3 Disember setiap tahun kepada tarikh lain berikutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Sedunia turut disambut pada tarikh tersebut.

Senator Datuk Ras Adiba Radzi, yang membawa suara OKU di Dewan Negara berkata, beliau meluahkan rasa kecewa komuniti OKU dan meminta agar kerajaan memberi perhatian serta mengambil kira Hari OKU Sedunia yang disambut di seluruh dunia pada tarikh tersebut setiap tahun.

Justeru Ras Adiba yang juga Presiden OKU Sentral, memohon kepada kerajaan agar cadangannya supaya sambutan Hari Batik Malaysia pada 3 Disember ditukar kepada tarikh lain.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 pada persidangan Dewan Negara, di sini pada Selasa.

“Mungkin kita terlupa bahawa menurut WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), 15 peratus populasi sebuah negara adalah OKU. OKU juga berhak mengundi dan memilih kerajaan. Kami adalah 4.8 juta daripada Keluarga Malaysia,” tegasnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengisytiharkan tarikh 3 Disember setiap tahun sebagai Hari Batik Malaysia bermula tahun ini bagi menggalakkan seluruh rakyat termasuk pihak swasta dan masyarakat berbilang kaum di negara ini untuk memakai pakaian batik Malaysia.

Sementara itu, Ras Adiba turut mempersoalkan sama ada elemen aksesibiliti dan pematuhan Keperluan Reka Bentuk Sejagat dan Malaysia Standard (MS1184) menjadi satu daripada kriteria wajib untuk setiap pendanaan RM30 juta yang disediakan bagi pembaikan 738 hotel bajet berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Selain itu, beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang telah memilih Bernama sebagai agensi pemacu dalam menyediakan Kursus Jurubahasa Isyarat Malaysia (JBIM). - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!