Tun M ulangi gesaan, perlu ada undang-undang anti lompat

DR MAHATHIR
DR MAHATHIR
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi gesaannya sebelum ini bahawa negara ini memerlukan undang-undang anti lompat parti.

Menurutnya, ia supaya mereka yang melompat akan hilang keahlian mereka sebagai wakil rakyat dan Pilihan Raya Kecil (PRK) boleh diadakan.

“Terpulanglah kepada rakyat sama ada memilihnya atau orang lain. Jika rakyat setuju dengannya, beri kemenangan kepadanya maka jatuhlah kerajaan pilihan rakyat.

“Jika ia dikalahkan, maka kerajaan pilihan rakyat akan kekal,” katanya menerusi tulisan di blognya chedet.cc pada Selasa.

Pada 17 September lalu, Dr Mahathir dilaporkan menggesa agar satu kajian lebih mendalam perlu dilakukan sebelum membentangkan Rang Undang-Undang anti lompat parti di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, kajian itu merangkumi maksud melompat parti dan jenis hukuman akan dikenakan kepada mereka yang terlibat.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menambah, jika mereka yang bosan dengan politik memberi kemenangan besar kepada calon antirasuah, maka pintu belakang tidak boleh diguna untuk menukar kerajaan.

“Sebaliknya, jika kemenangan puak antirasuah tipis maka keadaan tidak menentu dan percubaan memasuki pintu belakang akan berulang.

Artikel Berkaitan:

“Sama ada negara kita dapat dipulih semula atau tidak, terpulang kepada rakyat yang sayang kepada negara dan ingin lihat perasuah serta penyangak dikalahkan.

“Hanya dengan menyokong (mengundi) secara besar-besaran calon-calon yang bersih dari kluster mahkamah sahaja barulah kita akan selamat. Siapakah mereka?,” sindirnya.