Terengganu tunggu keputusan MKN rapatkan saf solat

Mohd Nor Hamzah
Mohd Nor Hamzah
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu kini menunggu keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membolehkan umat Islam di negeri itu merapatkan saf ketika solat.

Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, umat Islam di negeri ini diminta terus bersabar kerana perkara itu dalam perbincangan dengan pihak berkaitan serta perlu diselaraskan oleh semua pihak.

"Jadi kita harap rakyat dapat bersabar kerana semua agensi berkaitan telah bersetuju, namun terikat dengan keputusan beberapa agensi lain seperti MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebelum ini juga mencadangkan rapat saf setelah melalui fasa endemik Covid-19.

"Setakat ini, kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dikuatkuasakan di Masjid Al-Haram dan Masjid Annabawi Arab Saudi, bukan keseluruhan masjid di Arab Saudi," katanya menurut portal rasmi kerajaan negeri pada Selasa.

Mohd Nor mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), M Rozi Bidin, Timbalan Mufti Terengganu, Ahadi Othman dan Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT), Zulkefli Othman.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Nor berkata, Terengganu akan memperkasakan gerak kerja bagi memartabatkan institusi agama serta memainkan peranan dalam dakwah dan pembinaan insan.

"Agensi kerajaan dan jabatan bersikap terbuka untuk menerima sebarang pandangan berdasarkan aktiviti yang telah dijalankan sebelum ini dan bersedia menilai cadangan baharu.

"Pihak jabatan juga akan mengadakan 'retreat' dalam masa terdekat bagi memperkasakan usaha ke arah Terengganu Maju Berkat Sejahtera," ujarnya.

Artikel Berkaitan: