Pemandu treler dijel 110 tahun sebabkan 4 kematian nahas ngeri

Treler dipandunya merempuh kenderaan yang sedang berhenti, menyebabkan kebakaran besar dan membunuh empat orang. Foto AP
Treler dipandunya merempuh kenderaan yang sedang berhenti, menyebabkan kebakaran besar dan membunuh empat orang. Foto AP
A
A
A

DENVER - Seorang pemandu treler dijatuhi hukuman penjara 110 tahun pada Isnin kerana menyebabkan kematian dalam nahas jalan raya di Colorado pada 2019.

Rogel Aguilera-Mederos didapati bersalah pada Oktober atas lebih dua puluh pertuduhan, termasuk menyebabkan kematian dan cuai ketika memandu sehingga menyebabkan nahas ngeri itu.

Aguilera-Mederos memberitahu penyiasat brek trak itu terputus dan tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengelak kejadian daripada berlaku.

Nahas itu berlaku di Interstate 70, Lakewood, Colorado, di barat Denver, lapor United Press International (UPI).

KCNC-TV di Denver melaporkan, menerusi rakaman video kemalangan menunjukkan Aguilera-Mederos boleh menggunakan laluan treler untuk mengelak melanggar kenderaan lain, tetapi tidak melakukannya.

Treler dipandunya merempuh kenderaan yang sedang berhenti, menyebabkan kebakaran besar dan membunuh empat orang iaitu Doyle Harrison, William Bailey, Miguel Angel Lamas Arellano dan Stanley Politano.

Hakim A Bruce Jones berkata, di bawah undang-undang negeri, beliau perlu menjatuhkan hukuman bagi setiap kesalahan dan atas faktor itu hakim mengenakan hukuman minimum bagi setiap pertuduhan.

Aguilera-Mederos memohon pengampunan sebelum hukuman dijatuhkan dan meminta maaf kepada keluarga mangsa kerana ia adalah kemalangan dan bukan disengajakan. - Bernama

Artikel Berkaitan: