427,931kg barang kitar semula dikumpul KITARecycle

Wee Ming (enam dari kanan) memegang replika kad kerjasama dengan bersama pengamal media Negeri Sembilan. Turut kelihatan, Mohd Shukri (empat dari kanan).
Wee Ming (enam dari kanan) memegang replika kad kerjasama dengan bersama pengamal media Negeri Sembilan. Turut kelihatan, Mohd Shukri (empat dari kanan).
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 427,931 kilogram barangan kitar semula dikumpul menerusi program KITARecycle SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) sejak program itu dilancarkan bermula 20 September 2018.

Pengurus Besar Korporatnya, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, barangan tersebut merupakan hasil amalan kitar semula oleh 9,737 ahli KITARecycle yang berdaftar di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor Bahru.

Menurutnya, program itu merupakan inisiatif kelestarian alam yang memberi peluang kepada orang ramai untuk melaksanakan aktiviti kitar semula sambil mengumpul mata ganjaran yang boleh ditebus kepada wang tunai melalui pemindahan wang secara dalam talian.

"Setakat ini data paling tinggi yang telah ditebus ahli ialah 3726.6 point.

"Sistem KITARecycle juga membolehkan setiap ahli menyemak data pengumpulan barangan yang telah dikitar semula bagi tujuan rujukan individu sebelum membuat sebarang penebusan mata ganjaran," katanya kepada pemberita selepas SWM Environment melancarkan Kempen Strategik Bersama Pengamal Media di Negeri Sembilan di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengurus Operasi SWM Environment Wilayah Negeri Sembilan, Tee Wei Ming dan Pengurus Perkhidmatan Kawasan SWM Environment, Mohd Shukri Mat Sudin.

Jelas beliau, ahli hanya perlu memuat turun aplikasi KITARecycle melalui Google Play Store atau Apple Store atau melayari laman web www.kitarecycle.com.

Ujarnya, setiap ahli dapat mencetak kod QR untuk dilekatkan pada bungkusan barangan kitar semula bagi mengumpul mata ganjaran.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi program ini, lebih 25 barangan yang boleh dikitar semula seperti bekas plastik makanan dan minuman, botol pencuci, tin minuman barangan elektronik seperti peti ais, komputer dan bateri," katanya.

Mengenai kempen rakan strategik yang dilaksanakan, beliau berkata, kerjasama dengan media diharap dapat memberikan impak positif bagi meningkatkan kadar kitar semula di negara ini.