Covid-19: Pemandu kereta sewa Rantau Panjang terpaksa ubah kerjaya

Persatuan Pemandu-Pemandu Kereta Sewa Daerah Rantau Panjang (PPKSDRP) mengakui 58 ahlinya terpaksa mengubah kerjaya bagi meneruskan hidup selepas perkhidmatan kereta sewa tidak dapat beroperasi hampir dua tahun akibat Covid-19.
Persatuan Pemandu-Pemandu Kereta Sewa Daerah Rantau Panjang (PPKSDRP) mengakui 58 ahlinya terpaksa mengubah kerjaya bagi meneruskan hidup selepas perkhidmatan kereta sewa tidak dapat beroperasi hampir dua tahun akibat Covid-19.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Persatuan Pemandu-Pemandu Kereta Sewa Daerah Rantau Panjang (PPKSDRP) mengakui 58 ahlinya terpaksa mengubah kerjaya demi kelangsungan hidup selepas perkhidmatan kereta sewa tidak dapat beroperasi hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Pengerusinya, Che Abdul Rahim Che Razak, 61, berkata, sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada 18 Mac 2020 lalu rata-rata ahli PPKSDRP tidak dapat bekerja sebagai pemandu sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.

"Bagi meneruskan hidup, ada dalam kalangan mereka yang bekerja sebagai penoreh getah, kelindan lori dan buruh bagi memastikan dapur keluarga mereka berasap.

"Namun ada dalam kalangan ahli yang bergantung sepenuhnya kepada bantuan anak-anak. Hal ini kerana 90 peratus pendapatan mereka bergantung sepenuhnya kepada pekerjaan sebagai pemandu kereta sewa," katanya kepada pemberita di Stesen Kereta Sewa Rantau Panjang, di sini pada Selasa.

Menurutnya, disebabkan perkhidmatan itu tidak dapat beroperasi, PPKSDRP terpalit dengan tunggakan hutang dari agensi kerajaan.

Beliau berkata, hal itu kerana PPKSDRP kekurangan dana untuk menggerakkan badan berkenaan dalam membela nasib ahli.

Che Abdul Rahim berkata, bukan mereka tidak mahu meneruskan perkhidmatan tetapi dalam sehari hanya mampu peroleh sekitar RM10 kerana tiada penumpang.

Artikel Berkaitan:

Che Abdul Rahim (dua dari kanan) bersama rakan-rakannya tidak dapat bekerja sebagai pemandu hampir dua tahun sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.
Che Abdul Rahim (dua dari kanan) bersama rakan-rakannya tidak dapat bekerja sebagai pemandu hampir dua tahun sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.

Katanya, sebelum Covid-19 rakyat Thailand merupakan pengguna utama perkhidmatan kereta sewa itu selain penduduk setempat.

"Sejak Covid-19 dan pintu sempadan ditutup, kami banyak berehat daripada bekerja.

"Kami berharap bila Covid-19 reda, pintu sempadan dapat dibuka semula supaya kami dapat kembali 'bernafas'," katanya.

Sementara itu, Ismail Jusoh, 54, mendedahkan dia terpaksa bekerja sebagai buruh dengan upah RM50 sehari untuk kelangsungan hidupnya sekeluarga.

Menurutnya, sejak Covid-19, pendapatannya sebanyak RM1,000 sebulan hilang apabila tidak dapat membawa teksi.

"Namun saya bersyukur, anak-anak turut menghulurkan sumbangan setiap bulan bagi menampung belanja hidup bersama isteri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Persatuan Motosikal Tambang dan Bas Ekpres Rantau Panjang mendedahkan, mereka turut terkesan dengan situasi pandemik.

Pengerusinya, Wan Zin Wan Harun berkata, sejak pintu sempadan Malaysia-Thailand ditutup, mereka hilang punca pendapatan memandangkan majoriti ahli bergantung sepenuhnya kepada kegiatan ekonomi di kawasan sempadan.