Impak positif kerjasama Melaka, Sichuan

Adly (kanan) memerhatikan Liu Jie menandatangani buku pelawat ketika menerima kunjungan hormat delegasi Wilayah Sichuan di Seri Negeri, semalam.
Adly (kanan) memerhatikan Liu Jie menandatangani buku pelawat ketika menerima kunjungan hormat delegasi Wilayah Sichuan di Seri Negeri, semalam.
A
A
A
MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka akan memberi tumpuan kepada dua sektor terpenting di negeri ini iaitu kesihatan dan pendidikan dalam usaha menjalinkan kolaborasi dengan Wilayah Sichuan, China.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kedua-dua sektor berkenaan dilihat mampu memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri memandangkan wilayah itu mempunyai kira-kira 91 juta penduduk.

Menurutnya, langkah ini bukan hanya sebagai platform mengembangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang akan menjana pendapatan negeri, malah menjadi medium perkongsian budaya, kepakaran, pengetahuan dan sebagainya.

"Kerajaan negeri sedang berbincang bersama delegasi Wilayah Sichuan bagi bersama membantu mengembangkan dua sektor berkenaan.

"Melalui kerjasama itu, saya turut mengalu-alukan penubuhan universiti terkenal di Sichuan yang dikenali sebagai Chengdu University agar bertapak di negeri ini," katanya.

Adly berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi Wilayah Sichuan di Seri Negeri, di sini, semalam.

Hadir sama Speaker Dun, Datuk Omar Jaafar; Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen; Exco Komunikasi Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan, Kerk Chee Yee dan wakil Wilayah Sichuan, China, Liu Jie.

Adly berkata, hasil kerjasama delegasi luar, Melaka kini telah membina empat hospital swasta yang memberikan perkhidmatan terbaik khususnya pelancong luar negara dan penduduk tempatan.

Menurutnya, kerajaan negeri turut akan mengadakan program Minggu Sichuan bagi memberi peluang masyarakat dan pelabur tempatan mempromosikan wilayah berkenaan, sekali gus mengenali pertumbuhan ekonominya dengan lebih dekat.
Artikel Berkaitan:


"Melalui pendekatan konsep Melaka sebagai rumah kedua akan meningkatkan ekonomi negeri ini yang akan dimanfaatkan oleh masyarakat," katanya.

Bercakap soal pemilikan harta pelaburan dari luar negara, Adly berkata, kerajaan negeri masih mengekalkan bilangan hanya 40 peratus ekuiti asing dibenarkan memiliki perumahan yang dijual melebihi RM500,000.

"Kaedah pemilikan harta pelaburan luar mampu menyumbang kepada pendapatan negeri menerusi kutipan cukai yang tinggi berdasarkan kuota ditetapkan terhadap pemilikan itu.

"Ia meliputi pemilikan hartanah, industri dan perumahan yang akan dikenakan cukai seperti yang ditetapkan kerajaan," katanya.