Keikhlasan Dr Mahani bantu penagih dadah terima pengiktirafan

Dr Mahani bersama trofi Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Sunway-Yayasan Aids Malaysia (MAF) 2021 yang diterimanya semasa ditemui di sini. - Foto Bernama
Dr Mahani bersama trofi Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Sunway-Yayasan Aids Malaysia (MAF) 2021 yang diterimanya semasa ditemui di sini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang doktor perubatan tidak menyangka keikhlasannya membantu penagih dadah sejak 2009 mendapat pengiktirafan hingga melayakkannya menerima Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Sunway-Yayasan Aids Malaysia (MAF) 2021.

Ketua Penolong Pengarah Kanan (HIV/Pengurusan Pesakit Kelamin/Hepatitis C) di Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mahani Nordin menjadi rakyat Terengganu pertama yang menerima anugerah itu pada majlis Gala Reben Merah yang diadakan di Kuala Lumpur Jumaat lepas.

Beliau yang menerima hadiah wang tunai RM20,000, trofi dan sijil penghargaan berkata penglibatannya dalam kerja amal itu bermula kerana rasa simpati dengan nasib golongan itu yang 'dibuang' keluarga selepas selesai menjalani rawatan di hospital.

"Mereka tiada tempat berteduh. Tiada siapa peduli dengan nasib malang mereka yang terpaksa tidur di merata tempat termasuk hentian bas, bawah jambatan dan bangunan terbiar untuk meneruskan kehidupan.

"Sebagai individu yang merawat mereka ketika di hospital, saya memasang impian mahu menyediakan sebuah rumah perlindungan untuk mereka menumpang teduh. Ketika itu, kebanyakan pesakit HIV dan AIDS di Terengganu terpaksa dihantar ke pusat rawatan dan perlindungan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.

Anak jati Hulu Terengganu itu berkata, rasa sedih dan kasihan dengan nasib mereka mendorongnya untuk mengasaskan Komuniti Cakna Terengganu sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat agar tidak mendiskriminasi golongan itu.

Beliau turun padang bertemu beberapa ketua jabatan dan agensi kerajaan untuk mendapatkan dana menubuhkan rumah perlindungan tersebut dan akhirnya bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu sehingga berjaya menubuhkan Baitul Cakna di Ajil, Hulu Terengganu pada 2010.

Baitul Cakna adalah bukti betapa seriusnya Dr Mahani dalam membantu golongan tersebut kerana ia didirikan di atas tanah seluas 0.4 hektar yang diwakafkan oleh beliau sendiri, malah tiada sebarang yuran dikenakan terhadap penghuni di situ kerana sumber kewangan ditampung oleh Maidam dan beberapa pihak yang prihatin.

Artikel Berkaitan:

"Buat permulaan, empat penagih dadah ditempatkan di Baitul Cakna dan untuk menampung kos pengurusan, saya bekerjasama dengan Jabatan Pertanian untuk membimbing mereka dalam aktiviti penanaman keledek, sayur-sayuran, timun serta tanaman kontan yang lain.

"Selain itu, saya turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan yang sudi memantau dan menganjurkan pelbagai program bersama penghuni di rumah perlindungan tersebut," katanya.

Sejak penubuhan Baitul Cakna, semakin banyak pihak yang 'membuka mata' dengan kejayaan Dr Mahani dalam membantu golongan itu memulakan kehidupan baharu serta mengurangkan stigma negatif masyarakat terhadap mereka.

Pada 2017, Dr Mahani berjaya meyakinkan Kerajaan Negeri Terengganu untuk komitmen memberi tanah seluas empat hektar di Kampung Pelandan, juga di daerah Hulu Terengganu untuk dijadikan cawangan kedua.

"Di situ, kita bangunkan rumah perlindungan lelaki, satu rumah perlindungan wanita dan kanak-kanak, surau, bengkel jahitan dan bengkel penyediaan cili boh sebagai sumber kewangan.

"Pada 2018, Baitul Cakna yang ketiga diwujudkan di Kampung Jambu Bongkok dekat Marang, juga menggunakan pendekatan sama dari segi pemulihan rohani dan emosi melibatkan kerjasama polis, AADK, Kementerian Kesihatan dan komuniti setempat," katanya.

Ketika ini, terdapat 70 penghuni di tiga premis Baitul Cakna dan kebanyakan mereka yang sudah pulih daripada ketagihan dadah kini berkhidmat secara sukarela untuk membantu penghuni baharu.

Terkini, Dr Mahani turut berjaya membantu kerajaan negeri untuk memulihkan bekas penagih dadah melalui perkampungan khas yang dikenali sebagai Darul Barokah di Marang yang dilengkapi rumah dan beberapa projek ekonomi berskala kecil dan sederhana untuk membantu mereka.

"Harapan saya hanya satu agar mereka mampu menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara. Tiada yang lebih membahagiakan saya selain tangisan gembira bekas penagih dan ahli keluarga mereka sebaik dapat memulakan kehidupan baharu," katanya. - Bernama