Pemandu maut lori dihempap palang besi

Lori dipandu mangsa melanggar besi palang ketika melaluinya, di Gebeng, Kuantan pada Isnin. -Foto FAcebook Polis Trafik Kuantan
Lori dipandu mangsa melanggar besi palang ketika melaluinya, di Gebeng, Kuantan pada Isnin. -Foto FAcebook Polis Trafik Kuantan
A
A
A

KUANTAN - Seorang pemandu lori maut selepas lori dipandunya dihempap palang besi yang dilanggar dalam kejadian di kawasan kilang Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Gebeng di sini pada petang Isnin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.45 petang itu, mangsa, A Dharmaraj, 49, dari Air Putih di sini mengalami kecederaan parah pada kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, hasil siasatan awal mendapati, ketika kejadian mangsa sedang melakukan kerja-kerja memindah muatan bijih besi dalam kawasan kilang tersebut.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, lori dipandu mangsa dipercayai melalui bawah palang besi itu tanpa menurunkan bahagian muatan yang terangkat.

"Ekoran itu, palang besi itu telah dilanggar lalu terjatuh dan menghempap bahagian kepala lori," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Wan Zahari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: