MoA sasar RM350 juta nilai eksport durian ke China

Salahuddin (dua, kiri) melihat durian yang telah siap dibungkus untuk dieksport ke China di Fasiliti Eksport Durian JL Food Industries Sdn Bhd hari ini. - Bernama
Salahuddin (dua, kiri) melihat durian yang telah siap dibungkus untuk dieksport ke China di Fasiliti Eksport Durian JL Food Industries Sdn Bhd hari ini. - Bernama
A
A
A

RAWANG - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan pengeksportan 223,716 metrik tan durian sejuk beku dalam bentuk ulas dan pes ke negara China dengan nilai mencecah RM350 juta, tahun ini.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, jumlah itu dapat dicapai berdasarkan pertambahan kelulusan fasiliti pemprosesan durian sebanyak 31 syarikat berbanding 19 syarikat sedia ada.

Menurutnya, kejayaan itu hasil lawatan dan rundingan kementerian itu ke General Administration of Customs of People Republic of China (GACC) di Beijing pada Februari lepas.

"Saya akan bersama dengan semua pihak untuk bekerjasama memastikan potensi ini dapat ditingkatkan terutamanya pengeksportan durian ke China dalam kuantiti yang lebih besar.

"Dengan perkembangan ini juga, saya berharap mereka (syarikat) dapat menjaga kualiti durian yang dieksport supaya kelulusan yang diberikan itu tidak ditarik balik," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke fasiliti pemprosesan durian, JL Food Industries Sdn Bhd di sini hari ini.

hadir Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Jamal Harizan Yang Razali dan Pengarah JL Food Industries Sdn Bhd, Heng Siang Huang.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, pegawai GACC juga akan mengadakan lawatan ke fasiliti pemprosesan durian negara ini pada Mei nanti bagi menilai dan mengaudit sebelum produk durian dalam bentuk biji dapat dieksport ke negara itu.

Pada masa sama, Salahuddin turut memaklumkan kementerian itu akan berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk mewujudkan Pelancongan Durian bagi menggalakkan lebih ramai pelancong China datang ke negara ini sekali gus menjana pendapatan pekebun durian. - Bernama

Artikel Berkaitan: