Covid-19: Bantuan RM300 sebulan kepada anak yatim

Saarani ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Tarmizi Idris (BN-Kenering) pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 di sini pada Selasa. - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak
Saarani ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Tarmizi Idris (BN-Kenering) pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 di sini pada Selasa. - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan memberikan bantuan bulanan berjumlah RM300 kepada anak yatim yang kehilangan ibu bapa disebabkan Covid-19.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan tersebut diberikan melalui Skim Saham Felcra yang disalurkan menerusi penjaga anak-anak yatim tersebut.

Menurutnya, seramai 250 pelajar yang telah dikenal pasti oleh Jabatan Pendidikan negeri Perak menjadi anak yatim dan yatim piatu disebabkan penularan virus tersebut.

"Senarai ini dalam tindakan siasatan Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah bagi penentuan kelayakan bantuan berdasarkan syarat-syarat yang berkuat kuasa.

"Sepertimana yang saya umumkan dalam Belajawan Negeri 2022 pada Jumaat lalu bagi membela nasib anak-anak ini, kerajaan negeri akan mewujudkan Program Teduhan Kasih Anak-Anak Perak dengan peruntukan RM1 juta untuk menampung sara hidup dan pendidikan anak-anak ini sehingga berusia 21 tahun," katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Tarmizi Idris (BN-Kenering) pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Saarani berkata, kerajaan negeri melalui Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah merangka pelbagai inisiatif dalam memberikan bantuan terutama dari aspek psikologi dan kaunseling secara bersemuka atau dalam talian kepada keluarga yang terkesan dengan kematian ahli keluarga akibat Covid-19.

Menurutnya, bagi 250 pelajar yang kehilangan ibu bapa itu, pihak sekolah melalui guru kaunseling masing-masing diharap mengambil tindakan sama untuk memberi bimbingan dan nasihat memberi motivasi kepada anak-anak ini.

Beliau berkata, usaha itu perlu dilakukan supaya mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih bersemangat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kit aktiviti psikologi turut diberikan kepada mangsa mengikut kesesuaian bagi menghadapi masa-masa sukar dan dalam trauma selain keluarga mangsa Covid-19 turut disantuni dari semasa ke semasa.

Menurutnya, pada tahun 2021, terdapat tiga keluarga yang terkesan akibat kematian ketua isi rumah (KIR) yang telah disantuni oleh pegawai-pegawai psikologi.