Hentikan perbuatan buli

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

PERBUATAN buli bukan perkara baharu. Ia seperti sebuah drama sinetron panjang yang berlaku di Malaysia. Mungkin banyak lagi kes buli yang tidak diketengahkan dan didiamkan oleh mangsa demi menjaga keselamatan mereka.

Buli boleh berlaku di tempat kerja, dalam kalangan penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT), pelajar sekolah, di jalan raya dan di alam maya.

Mengapa buli masih berlaku sedangkan Malaysia sudah maju dan bakal memasuki tahun baharu 2022. Semua pihak perlu menghentikan perbuatan buli.

Kes buli yang tular baru-baru ini melibatkan seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di utara tanah air menyentap perasaan rakyat Malaysia termasuk penulis sebagai seorang ibu kepada dua orang anak.

Melihat mangsa ditumbuk dan ditendang menimbulkan amarah orang ramai. Susulan kejadian itu, pelajar yang terlibat telah digantung persekolahan serta-merta selama dua minggu.

Mangsa pula mengalami kecederaan tisu lembut dalam badan dan masih menerima rawatan serta di bawah pemantauan doktor.

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) turut mencadangkan pelajar-pelajar terbabit ditamatkan persekolahan mereka di institusi berkenaan.

Menurut Mahdzir, JDM MRSM telah memanggil 10 pelajar yang terlibat dalam insiden berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam laporan yang disediakan, enam pelajar terbabit memukul mangsa buli, manakala empat pelajar yang berada di lokasi kejadian didapati bersubahat dan membuat provokasi.

Kesemua pelajar itu berada di Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga.

Sementara itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa menyediakan persekitaran sekolah selamat selaras dengan konsep #sekolahkuSEJAHTERA.

Kesan

Kejadian berkenaan sangat memberi kesan kepada ibu bapa. Bagaimana ia boleh berlaku dalam kalangan pelajar cerdik pandai dan ‘dipilih’ untuk belajar di sekolah berprestij?

Di mana mereka meletakkan perasaan kasih sayang, rasa hormat dan nilai-nilai murni yang diterapkan ibu bapa dan keluarga, guru serta masyarakat sekeliling?

Apakah sebenarnya yang mahu mereka buktikan dengan melakukan buli terhadap pelajar lain yang merupakan harapan keluarga, mungkin juga pelajar yang banyak melakukan pengorbanan untuk berjaya, kerja keras dan perlu bersaing untuk bersama-sama menempatkan diri di sekolah berprestij itu?

Kejadian buli sedikit sebanyak menyebabkan ibu bapa menjadi ‘resah’ dan ‘takut’ terhadap keselamatan anak mereka di asrama.

Mungkin budaya ‘ragging’ pelajar baharu di asrama adalah perkara biasa, tetapi bagaimana jika ia keterlaluan sehingga mengancam nyawa?

Jika bernasib baik, anak-anak yang menjadi mangsa buli akan bercerita kepada ibu bapa.

Bagaimana jika mereka memendam perasaan? Amat merisaukan jika perbuatan buli itu didiamkan demi menjaga reputasi sekolah terlibat.

Apakah nasib generasi akan datang sekiranya masih ada ‘pembuli’ dalam kalangan masyakat.

Mereka bangga merakam video perbuatan buli untuk menunjukkan kehebatan tetapi akhirnya menghancurkan masa depan.

Di mana rasa empati mereka terhadap ibu bapa yang pastinya akan menanggung malu kesan daripada perbuatan mereka itu.

Kepada ibu bapa, ajar dan beritahu anak-anak supaya jangan membuli, mendera dan memukul anak orang lain.

Pihak sekolah juga boleh memperkasakan kempen mengenai bahaya dan kesan perbuatan buli kepada pelajar.

Didik anak-anak agar menghormati orang lain. Mungkin juga buli berlaku kerana ‘pembuli’ pernah menjadi mangsa buli.

Suka penulis ingatkan antara petikan kata-kata ayah kepada seorang mangsa buli yang telah meninggal dunia, Allahyarham Zulfarhan Osman.

“Jangan jadi pembuli. Ia boleh menghilangkan nyawa, kesannya kepada ibu bapa, seperti saya telah kehilangan anak sulung yang menjadi harapan keluarga.

“Tolong jangan buli anak orang, sudah-sudahlah...” Kata-kata itu amat mendalam dan menyentuh perasaan.

Justeru, sudah tiba masanya langkah dan pendekatan lebih serius perlu diambil serta dilaksanakan untuk menangani perbuatan buli, sama seperti kes-kes jenayah lain.

* Norshahzura Mat Zuki ialah Advertorial Coordinator Content Commercial Sinar Harian