Patut bangunkan Tubir Selatan berbanding projek HSR

DR MAHATHIR
DR MAHATHIR
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia sepatutnya menumpukan pembangunan Tubir Selatan Pulau Batu Puteh berbanding memulihkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dengan Singapura, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, pembangunan Tubir Selatan Pulau Batu Puteh itu perlu kerana Malaysia sudah diberikan kedaulatan ke atas Tubir Selatan.

"Daripada menghidupkan semula HSR yang boleh dilengkapkan dengan projek landasan berkembar (Gemas), kita sebaliknya perlu menumpukan pada pembangunan Tubir Selatan Pulau Batu Puteh.

"Saya mencadangkan agar Tubir Selatan ditebus dan diperluaskan serta sebuah pangkalan marin dibina.

“Walaupun kita bercita-cita menjadi jiran yang baik untuk menjadi mesra, kita tidak boleh mengorbankan integriti wilayah kita lebih-lebih lagi kedaulatan kita. Ia mengenai keutamaan,” katanya menerusi catatan di blog Chedet pada Isnin.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, beliau terkejut apabila Perdana Menteri Singapura, Les Hsien Loong mengumumkan Malaysia mencadangkan untuk menghidupkan semula perbincangan mengenai HSR.

Sedangkan katanya, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menamatkan perjanjian itu.

“Pampasan RM320 juta yang terlalu tinggi perlu dibayar kepada Singapura. (Datuk Seri) Ismail Sabri Yaakob adalah sebahagian daripada kerajaan itu.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang beliau menjadi Perdana Menteri, beliau bercadang untuk membangkitkan semula sesuatu yang beliau sudah tamatkan,” katanya.