Beri sokongan kepada Miro demi pembangunan DUN Serembu

Awang Tengah (dua kanan) menyaksikan penyerahan Peruntukan Dana Pembiayaan Skim Kredit Mikro Sarawak kepada salah seorang penerima. Turut kelihatan Miro Simoh (kiri).
Awang Tengah (dua kanan) menyaksikan penyerahan Peruntukan Dana Pembiayaan Skim Kredit Mikro Sarawak kepada salah seorang penerima. Turut kelihatan Miro Simoh (kiri).
A
A
A

BAU - Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyifatkan Miro Simoh sebagai seorang pemimpin yang berani dan lantang menyuarakan pendirian secara tegas.

Menurut beliau, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu itu merupakan seorang pemimpin yang bekerja keras demi kemajuan serta kemakmuran kawasan dan negeri secara amnya.

Katanya, beliau sentiasa menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik selain sentiasa berusaha mengangkat martabat dan maruah rakyat sekali gus membangunkan masyarakat di Sarawak.

"Dalam dewan (persidangan Dewan Undangan Negeri) beliau turut lantang bersuara bukan sahaja demi kepentingan kawasan, namun soal kepentingan kita bersama juga," katanya merangkap Timbalan Presiden Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Penangguhan Program Promosi Keusahawanan Daerah Bau (Mintred) di Dewan Kampung Sekio, di sini pada Isnin.

Sehubungan itu, Awang Tengah menyeru supaya penduduk memberikan sokongan sepenuhnya kepada Miro pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) nanti.

"Sokongan yang diberikan akan membantu Miro meneruskan projek pembangunan di DUN Serembu selain merancakkan lagi sosioekonomi penduduk di kawasan berkenaan," ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Awang Tengah turut menasihati pengundi di Sarawak supaya tidak keliru antara logo GPS dan Barisan Nasional (BN) pada PRN12.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana katanya, GPS tidak lagi bernaung di bawah BN.

"Ini merupakan kali pertama GPS menggunakan lambang baharu dalam PRN12, namun jangan pula keliru dengan logo parti lain seperti Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang turut menggunakan logo Burung Kenyalang," katanya.

Sementara itu kata Tengah, GPS ditubuhkan berdasarkan semangat dan jiwa anak Sarawak untuk membangunkan negeri dan disebabkan itu mereka bertindak keluar daripada parti BN sebelum ini.

"GPS ditubuhkan supaya kita dapat menentukan hala tuju kita sendiri, menyuarakan hak dan kepentingan kita dan apa yang penting, supaya kita di Sarawak tidak terikat dengan politik di Semenanjung Malaysia.

"Meskipun kita berlainan pegangan agama, adat resam, latar belakang, kaum dan sebagainya, tetapi kita adalah satu kerana kita saling menghormati antara satu sama lain. Inilah kekuatan kita," ujarnya.

Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my