Pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru dilaksanakan secara adil

Shahidan Kassim
Shahidan Kassim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim memberi jaminan isu pengambilan tanah di Sungai Baru, Kampung Baru di sini akan dilaksanakan secara adil dan mementingkan kepentingan pemilik lot/ flat PKNS Sungai Baru.

Shahidan berkata, beliau sendiri akan berunding dengan pemilik dan pemaju terlibat bagi memastikan satu persetujuan yang adil dapat dicapai.

“Semua akan diberi keadilan sebaiknya. Kalau tidak pun saya akan kurangkan masalah di tahap yang minimum... saya ingat pada Januari, saya kira akan selesaikan dan selepas itu kita akan lihat pembangunan Kuala Lumpur secara keseluruhan,” katanya dalam sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab usul yang dibawa Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) berkaitan isu Sungai Baru, Kampung Baru.

Menurut Shahidan bagi menyelesaikan isu itu, beliau mencadangkan kepada pemaju supaya membayar dahulu nilai hartanah kepada pemilik dan membenarkan mereka membeli unit rumah gantian apabila ia siap dibina.

Langkah itu katanya, bagi memastikan pemilik tidak menjadi mangsa rumah terbengkalai sekiranya pemaju tidak dapat melunaskan tanggungjawab mereka.

“Kita nak pastikan pemaju ada kekuatan kewangan dan bukan guna tanah untuk cari duit. Banyak pemaju kini boleh membayar dahulu,” katanya.

Sebelum itu, ketika membahaskan usul terbabit, Khalid mempersoalkan tindakan kerajaan menggunakan peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil tanah di kawasan tersebut bagi tujuan pembangunan semula oleh pemaju swasta.

Artikel Berkaitan:

Usul tersebut turut dibahas tiga lagi ahli Parlimen iaitu Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Pejuang-Sri Gading), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) dan Teresa Kok (PH-Seputeh). - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:Pembangunan Kampung Sungai Baru: Pemaju tawar pangsapuri

ARTIKEL BERKAITAN:Pampasan perpindahan penduduk Kampung Sungai Baru lebih RM250,000