Anak pemandu UMT kongsi kejayaan cemerlang di pentas konvokesyen

Hazril Shauqi dan Hazreen Shahira merakam kenangan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-18 di Kuala Nerus pada Isnin.- Foto ihsan UMT
Hazril Shauqi dan Hazreen Shahira merakam kenangan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-18 di Kuala Nerus pada Isnin.- Foto ihsan UMT
A
A
A

KUALA NERUS - Anak pemandu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melakar sejarah tersendiri apabila berkongsi kejayaan cemerlang sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-18 di sini pada Isnin.

Kenangan manis itu dilakar penuntut Diploma Perikanan, Hazril Shauqi Ahmad Sabri, 21, dan kakaknya, Hazreen Shahira Ahmad Sabri, 26, yang merupakan pelajar Sarjana Muda Sains Agroteknologi (Sains Tanaman).

Menurut Hazril Shauqi, kejayaan itu berkat sokongan ibu bapanya, Rohayati Jaafar, 56, dan Ahmad Sabri Jaafar, 53.

"Saya bersyukur dan gembira kerana dapat sampai ke tahap ini. Terima kasih kepada kedua ibu bapa saya kerana tanpa doa mereka, saya mungkin tidak dapat pergi sehingga ke peringkat ini," katanya yang memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.73.

Ditanya rahsia kejayaan, anak kedua daripada tiga beradik itu berkongsi beberapa tips yang sering diamalkan.

Hazril Shauqi dan Hazreen Shahira di samping keluarga sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-18 di Kuala Nerus pada Isnin. - Foto ihsan UMT
Hazril Shauqi dan Hazreen Shahira di samping keluarga sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-18 di Kuala Nerus pada Isnin. - Foto ihsan UMT

"Saya sering mengulangkaji pelajaran melalui nota yang ditulis. Tidur awal dan membuat kelas serta menerangkan nota yang ditulis kepada rakan-rakan.

"Saya juga sering memuat naik nota pada status pesanan mudah alih WhatsApp untuk mengingatkan rakan-rakan mengenai pelajaran yang dipelajari sebelum ini," katanya yang memasuki UMT pada 2018.

Artikel Berkaitan:

Dua beradik dari Kampung Durian Burung, di Kuala Terengganu itu antara 92 pelajar yang mendapat kelas pertama sempena konvokesyen UMT siri kedua yang diadakan bermula 6 hingga 13 Disember 2021.

Sementara itu, Hazreen Shahira berkata, dia menganggap kejayaan yang dilakar adalah rezeki kurniaan ALLAH SWT di samping ikhtiar dan usaha yang dilakukan untuk mencapai target sepanjang pengajian.

"Apa yang saya selalu amalkan ialah tidur awal, buat persediaan dan mohon doa mak ayah. Setiap kali sebelum menduduki peperiksaan, saya akan menelefon mak ayah untuk mohon doa daripada mereka.

"Selain itu, sokongan daripada tenaga pengajar dan kerjasama rakan-rakan dalam setiap tugasan membantu saya mencapai target kelas pertama," katanya yang memperoleh PNGK 3.76.