Pengubahan wang haram: Najib kekal mengaku tidak bersalah

Najib hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini untuk mendengar pengurusan kes yang didakwa atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berhubung dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta, lima tahun lepas. - Foto Bernama
Najib hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini untuk mendengar pengurusan kes yang didakwa atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berhubung dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta, lima tahun lepas. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berhubung dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta, lima tahun lepas.

Najib, 66, yang bersut kelabu mengangguk faham selepas jurubahasa wanita membacakan setiap satu pertuduhan dan ketika ditanya sama ada beliau mengaku bersalah atau tidak, Najib berkata: "Minta bicara".

Hari ini adalah sebutan kali pertama kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan selepas kes itu dibenarkan dipindah dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan berkenaan, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhannya RM27 juta, iaitu hasil daripada aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes SRC International-Najib dipindahkan ke mahkamah tinggi

Najib dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup mencadangkan mahkamah menggunapakai jaminan yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen pada 8 Feb lepas. Mahkamah menetapkan 17 April untuk sebutan semula kes Najib yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Pada 8 Februari lepas, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan itu, bagaimanapun kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas pihak pendakwaan memohon kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di Mahkamah Tinggi berlainan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah menetapkan Isnin ini untuk pengurusan kes Najib yang didakwa atas tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta selepas Manoj memohon tarikh berkenaan ketika sebutan kes itu hari ini.

Manoj berkata, pada tarikh berkenaan, pihaknya akan memaklumkan perkembangan empat rayuan Najib yang didengar pada 11 Mac dan bersambung 15 Mac ini di Mahkamah Rayuan.

Rayuan berkenaan adalah melibatkan perintah menghalang media daripada menyiarkan perbincangan umum berkaitan merit kes itu, penzahiran dokumen, pelantikan Datuk Sulaiman Abdullah sebagai ketua pasukan pendakwaan dan sijil pindah kes.

Pada 4 Julai tahun lepas, Najib didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos tahun lepas, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama dari dana serupa. - Bernama