Piala AFF: Tiga pemain bebas Covid-19 kembali sertai pasukan

Tan Cheng Hoe - Foto Bernama
Tan Cheng Hoe - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Skuad kebangsaan boleh menarik nafas lega apabila tiga daripada empat pemain yang diuji positif Covid-19, dibenar kembali menyertai pasukan menjelang aksi terakhir saingan Kumpulan B Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020.

Tiga pemain itu adalah penjaga gol Muhammad Khairulazhan Mohd Khalid, Muhammad Faisal Abdul Halim (pemain sayap) dan pemain pertahanan Quentin Cheng yang mendapat surat pelepasan daripada Kementerian Kesihatan Singapura, semalam.

Pengendali skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe berkata, Muhammad Khairulazhan dan Muhammad Faisal masing-masing selesai menjalani tempoh 10 hari perintah pengasingan, manakala Cheng diberi pelepasan awal berdasarkan keputusan ujian saringan PCR dijalankan.

“Ketiga-tiga pemain ini telah memulakan aktiviti bersama pasukan dengan aktiviti pertama ialah di gimnasium, memandangkan hari ini merupakan hari ‘recovery’ selepas kita beraksi menentang Vietnam, malam Isnin.

“Namun, seorang lagi pemain yang diuji positif Covid-19 sebelum ini iaitu Akhyar Rashid masih perlu melengkapkan tempoh 10 hari perintah pengasingan, dan hanya akan kembali menyertai pasukan selepas tamat tempoh itu,” katanya dalam kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Isnin.

Sebelum ini, perjalanan skuad kebangsaan pada kempen Piala AFF 2020 terjejas apabila empat pemain disahkan positif Covid-19 yang menyaksikan Cheng Hoe hanya mempunyai baki 19 pemain untuk mengharungi kempen kejuaraan itu.

Sementara itu, Cheng Hoe mengesahkan ketua pasukan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan Shahrul Mohd Saad yang terpaksa dibawa keluar ketika menentang Vietnam semalam, mengalami kecederaan hamstring.

Pengendali berusia 53 tahun itu berkata, pasukan perubatan akan terus memantau tahap kecederaan kedua-dua pemain itu, sebelum membuat penilaian terhadap peluang mereka untuk diturunkan pada aksi terakhir kumpulan menentang Indonesia, di Stadium Nasional Singapura 19 Disember ini.

Artikel Berkaitan:

“Bagi posisi pertahanan tengah ini, kita masih memiliki Dominic Tan yang bebas daripada sebarang kecederaan manakala Junior Eldstal masih dalam proses pemulihan kecederaan otot di bahagian abdomen.

“Namun, kita bakal memiliki Dion Cools yang dijangka tiba di Singapura pada Khamis ini untuk mengisi posisi pertahanan tengah, andai Aidil dan Shahrul tidak sempat pulih menjelang perlawanan Ahad nanti," kata Cheng Hoe.

Selepas tiga aksi, skuad kebangsaan kini di kedudukan ketiga, berkongsi enam mata bersama Indonesia dan Vietnam yang bermain kurang satu perlawanan, manakala Kemboja dan Laos masing-masing di tempat tercorot tanpa sebarang mata. - Bernama