Foto ibu, ayah pengubat rindu

Linafsha Arnia melihat gambar ibunya bersebelahan luahan yang ditulis pada album gambar.
Linafsha Arnia melihat gambar ibunya bersebelahan luahan yang ditulis pada album gambar.
A
A
A

KOTA BHARU - “Kenangan manis, ini ibu saya,” itu luahan sayu yang ditulis pada album keluarga adik-beradik yatim piatu bagi meluahkan perasaan rindu terhadap ibu bapa mereka yang sekian lama pergi menghadap Ilahi.

Linafsha Arnia Mohd Asni, 16, menulis nota itu ketika dia berusia lima tahun iaitu selepas dua tahun pemergian ibunya, Latifah Ismail yang meninggal dunia pada usia 26 tahun akibat kemalangan jalan raya di Pasir Puteh pada tahun 2008.

Linafsha berkata, empat tahun kemudian, bapanya, Mohd Asni Hussin, 32, pula meninggal dunia kerana sangat sedih dan kerap mengalami kemurungan.

"Tinggallah kami berdua, saya dan abang, Muhammad Aftar Arnia Mohd Asni, 17, menumpang kasih nenek, Kamariah Mat Ali, 73," katanya ketika ditemui di rumah nenek mereka di Kampung Bunga Emas, Penambang di sini pada Isnin.

Linafsha Arnia (kiri) dan Muhammad Aftar Arnia (kanan) memeluk nenek mereka.
Linafsha Arnia (kiri) dan Muhammad Aftar Arnia (kanan) memeluk nenek mereka.

Menurut Linafsha, datuknya, Ismail Che Hat, 78, meninggal dunia akibat sakit tua tiga tahun lalu.

Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Penambang itu berkata, kehidupannya tidak seperti rakan lain kerana kedua ibu bapanya meninggal dunia ketika mereka dua beradik masih kecil.

"Saya tetap ingat wajah ibu. Nenek ada berkongsi cerita ketika ibu meninggal, saya menangis mengejutkan ibu kerana menganggap ibu sedang tidur.

Artikel Berkaitan:

“Sehingga hari ini, saya masih terbayangkan wajah ibu melarang saya bermain di luar. Selainnya hanya gambar ini yang menjadi teman rindu kami dan saya akan peluk gambar mereka jika rindu,” katanya sambil menangis.

Sementara itu, menceritakan detik bersama arwah anaknya, Kamariah berkata, sebelum Latifah keluar pada malam raya Aidiladha, dia meminta gambar-gambar dia dan suami disimpan dalam album.

Linafsha Arnia Mohd Asni, 16, (kiri) mengesat air mata hiba apabila teringat terhadap arwah ibunya, Latifah Ismail, 26.
Linafsha Arnia Mohd Asni, 16, (kiri) mengesat air mata hiba apabila teringat terhadap arwah ibunya, Latifah Ismail, 26.

“Dia membeli sebuah album dan kemudian menyusun gambar itu. Latifah keluar beraya bersama kawan-kawannya sebelum kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Tinggallah album ini sebagai kenangan anak-anaknya untuk melepaskan rindu,” katanya.

Menurut warga emas itu, mereka turut dihimpit kesempitan hidup kerana usianya yang sudah lanjut dan menghidap penyakit kencing manis menyebabkan dia kini hilang punca pendapatan sebagai pencanting batik.

“Dua beradik ini ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM150 setiap seorang. Tiga lagi anak saya turut membantu dan kami juga menerima bantuan rumah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK),” katanya.

Bagi yang ingin membantu boleh salurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional, Linafsha Arnia Mohd Asni 0301041000107711 atau Muhammad Aftarihan Arnia Mohd Asni 0301041000107776 atau boleh dihubungi di talian 014-7957753.