Premis melombong bitcoin curi bekalan elektrik diserbu

Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebuah premis yang dipercayai menjalankan kegiatan melombong bitcoin diserbu kerana didapati menggunakan tenaga elektrik secara haram.

Premis di Kawasan Perindustrian Taman Berjaya Skudai itu digempur kira-kira jam 2 pagi pada Isnin dengan kerjasama pasukan Seal Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, seorang lelaki berusia 40 tahun dipercayai penyelia premis turut ditahan untuk membantu siasatan.

“Hasil siasatan mendapati premis berkenaan tidak berdaftar dengan TNB (tiada meter elektrik) dan membuat penyambungan terus dengan kotak TNB untuk mendapatkan bekalan elektrik.

“Semakan TNB mendapati, premis berkenaan mencatatkan kerugian 141,632 kilowatt jam (KWJ) sebulan yang menjadikan jumlah kerugian keseluruhan bernilai RM220,521 dalam tempoh tiga bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ayob Khan berkata, kegiatan melombong bitcoin di premis itu juga dipercayai turut melibatkan penggunaan pelbagai rangkaian komputer super.

Katanya, modus operandi digunakan ialah dengan mencuri bekalan elektrik kerana tidak mahu membayar bil yang mahal kerana sistem berkenaan menggunakan tenaga elektrik yang tinggi.

“Hasil serbuan ini, kita telah merampas sebanyak 170 mesin melombong bitcoin dan mesin bekalan tenaga.

Artikel Berkaitan:

“Pihak Seal TNB juga mendapati terdapat bukti munasabah menunjukkan kesalahan di bawah Seksyen 37(1), Seksyen 37(3) dan Seksyen 37(14) Akta Bekalan Elektrik 1990 telah dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta melakukan khianat ke atas harta benda milik TNB.