695kg daun ketum gagal diseludup

Bungkusan plastik hitam yang mengandungi 695 kilogram daun ketum bernilai RM125,000 yang ditemui di Pulau Tanjung Dendang, Langkawi awal pagi Ahad.
Bungkusan plastik hitam yang mengandungi 695 kilogram daun ketum bernilai RM125,000 yang ditemui di Pulau Tanjung Dendang, Langkawi awal pagi Ahad.
A
A
A

LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menggagalkan cubaan menyeludup kira-kira 695 kilogram daun ketum bernilai RM125,000 di Pulau Tanjung Dendang, Langkawi awal pagi Ahad.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, kejayaan serbuan hasil maklumat risikan dan intipan berterusan mengenai aktiviti penyeludupan daun ketum yang dilihat semakin aktif di perairan sempadan negara jiran.

Katanya, kejadian berlaku pada jam 3.30 pagi selepas pihaknya mengesan sebuah bot sedang bergerak dalam keadaan gelap dan mencurigakan di kedudukan lebih kurang 5.0 batu nautika, timur Pulau Tanjung Dendang.

"Sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang dalam satu rondaan rutin diatur gerak ke lokasi untuk pemeriksaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa, tekong bot berkenaan bertindak memecut laju ke arah perairan sempadan Malaysia-Thailand dan melarikan diri selepas membuang bungkusan ke laut.

"Pemeriksaan ke atas objek yang dibuang itu membawa kepada penemuan 57 bungkusan plastik berwarna hitam berisi daun ketum dengan anggaran berat 695 kilogram.

"Kesemua daun ketum itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut," katanya.

Mohd Zawawi berkata, harga pasaran yang tinggi di negara jiran sehingga mencecah RM180 sekilogram menjadi faktor kepada aktiviti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Ia turut disokong oleh faktor upah yang lumayan bagi setiap penghantaran dianggarkan berjumlah sekitar RM350 hingga RM800 bergantung kepada berat muatan," katanya.

Tambah beliau, semua hasil rampasan dibawa ke jeti Maritim Malaysia, Bukit Malut, Langkawi untuk tindakan lanjut.

"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

"Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya," katanya.

Jelas Mohd Zawawi, Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penyeludupan barang terlarang dan mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim setempat.

"Sebarang jenayah atau kecemasan di laut boleh dilaporkan secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS 999," katanya.