KKR dalam proses reka garis panduan spesifikasi lampu jalan

Arthur Joseph Kurup
Arthur Joseph Kurup
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) kini dalam proses mereka satu garis panduan spesifikasi lampu sebelum mewajibkan penggunaan lampu berteknologi hijau atau solar.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, antara halangan yang dihadapi kementerian ialah mewajibkan pihak tertentu khususnya yang melaksanakan projek kerajaan untuk menggunakan lampu LED atau berteknologi hijau.

"Walaupun kerajaan menggalakkan penggunaan lampu solar tetapi kita belum ada kuasa untuk mewajibkan penggunaan lampu jenis itu,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir (PH-Temerloh) yang bertanyakan halangan yang dihadapi oleh kerajaan untuk memenuhi inisiatif penggunaan tenaga hijau bagi lampu jalan dan papan tanda jalan raya.

Dalam pada itu, Arthur memaklumkan, KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melaksanakan inisiatif penggunaan tenaga hijau bagi lampu-lampu jalan LED sejak tahun 2018 untuk projek jambatan di jalan persekutuan.

“Hasil pelaksanaan projek perintis lampu jalan solar LED ini, JKR telah memulakan pemasangan untuk jalan selain jalan persekutuan iaitu di jalan luar bandar, jalan kampung di penempatan orang asal dan jalan yang jauh atau tiada sumber bekalan elektrik,” katanya.

Selain itu katanya, JKR turut melaksanakan pemasangan lampu jalan solar LED di kawasan perbandaran yang kerap berlaku kejadian kecurian kabel.

"Penggunaan lampu jalan solar LED juga didapati mengurangkan pelepasan karbon yang boleh mencemarkan alam sekitar, tiada bil elektrik bulanan dan mengurangkan kes vandalisme ke atas aset kerajaan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan: