3,643 orang hilang pekerjaan di Perak akibat Covid-19

Ahmad Saidi ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan ketika sidang DUN Perak di Ipoh pada Isnin. - Foto Urusetia Unit Dewan Negeri Perak
Ahmad Saidi ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan ketika sidang DUN Perak di Ipoh pada Isnin. - Foto Urusetia Unit Dewan Negeri Perak
A
A
A

IPOH - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merekodkan seramai 3,643 anak Perak hilang pekerjaan bagi tempoh Mac 2020 sehingga bulan lalu akibat penularan pandemik Covid-19.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, jumlah itu dipengaruhi oleh faktor penutupan beberapa sektor seperti sektor perkilangan, perkhidmatan dan perhotelan.

Menurutnya, kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi membantu mereka yang kehilangan pekerjaan menerusi Perkeso termasuk melalui Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) bagi tempoh 3 hingga 6 bulan tertakluk kepada syarat kelayakan caruman.

"Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) iaitu elaun yang dibayar kepada orang berinsurans yang kembali bekerja semula. Kadar bayaran EBSA adalah sebanyak 25 peratus daripada baki EMP dan dibayar secara pukal.

"Selain itu, terdapat Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB) yang disediakan kepada orang berinsurans yang bekerja dengan lebih daripada satu majikan dan kehilangan pekerjaan daripada salah satu majikan tersebut. Kadar dan tempoh bayaran sama dengan EMP," katanya ketika menjawab soalan A Sivanesan (DAP- Sungkai) ketika sesi soalan lisan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Isnin.

Ahmad Saidi berkata, program Penjana Kerjaya 3.0 di bawah Pemulih merupakan salah satu insentif kepada majikan yang mengambil pekerja berusia 40 tahun ke atas, Orang Kurang Upaya (OKU), lepasan sekolah dan graduan selain peluasan insentif pengambilan pekerja di bawah Program KerjayaGig.

"Selain itu, kerajaan dalam pembentangan Bajet 2022 lalu telah memperuntukkan sebanyak RM2 bilion kepada Perkeso untuk melaksanakan JaminKerja iaitu Insentif Penggajian (JKIP) di bawah Sistem Insurans Pekerjaan yang dijangka akan memanfaatkan 300,000 pencari kerja dari seluruh negara.

"Menerusi JKIP, majikan yang menggaji individu tidak aktif bekerja bakal menerima insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, majikan juga layak menerima insentif sebanyak 30 peratus bagi golongan rentan pula sebelum dinaikkan kepada 40 peratus bagi enam bulan berikutnya.

"Kadar insentif yang sama turut akan dipanjangkan bagi pengambilan pekerja golongan wanita yang telah menganggur melebihi tempoh setahun, ibu tunggal dan surirumah," katanya.