X

Kindly register in order to view this article
!

13 suspek edar dan salah guna dadah diberkas di Miri

A
A

MIRI - Seramai 13 warga tempatan termasuk enam disyaki pengedar dadah diberkas dalam tiga operasi yang dijalankan di sekitar bandar raya ini selama dua hari sehingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak Superintendan Sahar Abdul Latif berkata operasi yang dijalankan oleh JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak itu turut menyaksikan rampasan dadah jenis heroin dan syabu bernilai lebih RM15,000 serta harta benda termasuk dua kenderaan dengan nilai RM49,000.

Dalam serbuan pertama pada 1 tengah hari di sebuah rumah di Jalan Padang Kerbau, polis menahan empat lelaki yang disyaki pengedar dadah serta merampas dadah jenis syabu seberat 18.98 gram bernilai RM2,847 daripada suspek yang tiga daripada mereka turut positif dadah.

"Kumpulan ini dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal 2018," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sahar berkata setengah jam selepas operasi pertama, pasukan sama menyerbu sebuah rumah dan menahan tujuh lelaki yang kesemuanya didapati positif dadah.

Beliau berkata operasi ketiga dilakukan semalam dan polis menahan dua lelaki, masing-masing dari Perak serta Selangor, dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM12,517.60.

"Suspek pertama ditahan di tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Datuk Temenggung Oyong Lawai manakala suspek kedua yang bertanggungjawab mengutip wang hasil jualan dadah ditahan di sebuah apartmen di Tanjung Lobang.

"Kedua-dua suspek positif dadah serta mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan disyaki mula mengedar dadah sejak awal 2018,” katanya.

Menurutnya kesemua 13 suspek yang berusia 32 hingga 50 tahun terbabit disiasat menurut pelbagai seksyen termasuk Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan. – Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!