Tumpu isu ekonomi, kemiskinan rakyat

Ahmad Marthada
Ahmad Marthada
A
A
A

SHAH ALAM - Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik perlu mempunyai idea, perancangan dan pelaksanaan dengan memberikan tumpuan dalam membantu rakyat marhaen sekiranya mahu menjadikan negara ini lebih baik.

Ketua Kluster Governans dan Integriti Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, isu ekonomi, kemiskinan dan kenaikan harga barang harus menjadi agenda utama bagi kesemua 55 tokoh dalam kumpulan itu.

Menurutnya, kumpulan tersebut juga perlu lebih dekat dengan masyarakat yang sangat terkesan disebabkan pandemik Covid-19 dan bukan hanya memberikan cadangan bersifat kayangan seperti isu politik dan menambah baik sistem pentadbiran yang sememangnya sentiasa diberikan perhatian oleh kerajaan.

“Usaha untuk memulihkan ekonomi sangat penting ketika ini selepas terkesan ekoran pandemik Covid-19. Kita bercakap dalam konteks pengangguran tinggi bukan setakat mereka yang dibuang kerja, tetapi dalam kalangan graduan yang tamat universiti dan masih tidak mempunyai peluang pekerjaan.

“Kedua adalah jaringan keselamatan sosial. Kalau kita tengok kemiskinan tegar makin meningkat dengan ramai yang susah di peringkat B40 perlu diberikan perhatian kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) yang turut terkesan.

“Malah, kenaikan harga barang yang sedang berlaku ketika ini juga banyak memberikan kesan kepada masyarakat bawahan serta pertengahan dan masih belum dapat diselesaikan.

“Jadi, ini peluang terbaik untuk kumpulan tersebut hadir dengan idea dan perancangan yang lebih berkesan sekiranya komited mahu membantu kerajaan serta rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Kumpulan tersebut bakal berkolaboratif secara musyawarah selama dua tahun dan akan membentangkan syor atau cadangan tentang bagaimana demokrasi, institusi serta ekonomi negara harus berfungsi dengan lebih baik dan berkesan.

Artikel Berkaitan:

Ini termasuklah isu tentang sistem pilihan raya Malaysia, dana politik, hubungan antara persekutuan dan negeri, peranan institusi-institusi utama negara, tindakan afirmatif serta masa depan sistem pendidikan.

Mengulas lanjut, Ahmad Marthada berkata, isu berkaitan rakyat akan menjadi satu penanda aras kepada keupayaan kumpulan tersebut dan bukan hanya cadangan bersifat retorik untuk meraih publisiti semata-mata.

“Saya sebenarnya melihat kumpulan ini terdiri dalam kalangan profesional dan elit. Mereka agak jauh dengan isu masyarakat ini dan jika mereka mahu bantu kerajaan, mereka perlu ambil berat isu berkaitan rakyat ini terlebih dahulu.

“Kita juga tahu dalam soal ekonomi dan kemiskinan ini kerajaan sudah cuba melakukan yang terbaik tetapi masih belum dapat mengatasi sepenuhnya. Dari segi kewangan, berapa banyak subsidi yang kerajaan boleh bagi kepada orang miskin.

“Jadi, perkara-perkara ini yang perlu diatasi oleh pemikir dalam kumpulan berkenaan dan membawa penyelesaian untuk difikirkan bersama kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberikan cadangan agar kumpulan tersebut dapat merencana libat urus bersama kerajaan bagi memastikan idea dan perancangan yang mahu dibuat itu dapat dilaksanakan dengan baik.

“Saya percaya mereka (Himpunan Malaysia Yang lebih Baik) mempunyai idea yang menarik, namun sejauh mana idea mereka itu akan sampai kepada kerajaan?

“Bagi saya, jika cadangan itu bersifat kepentingan ekonomi, mungkin mereka boleh membuat pertemuan dengan Menteri Kewangan atau Menteri Ekonomi. Jadi, cadangan itu akan lebih berkesan dan disalurkan terus kepada kementerian yang relevan.

“Selain itu, kumpulan ini juga boleh juga bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan input bersama-sama mengatasi isu membabitkan rakyat kerana di negara ini banyak NGO yang sentiasa dekat dengan rakyat,” jelasnya.